DA NANG, 4 Sept (Bernama) — Perlis kini mempunyai ruang untuk melaksanakan peranan lebih besar dalam membentuk landskap pendidikan yang bukan sahaja berteraskan ilmu dan teknologi, malah juga berpandukan kelestarian serta keterhubungan dengan dunia.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah perkembangan itu memperlihatkan pendidikan tinggi di Perlis boleh berkembang melangkaui sempadan geografi.
Ad Banner
Ad Banner
Baginda bertitah perkembangan itu bukan sekadar melahirkan graduan untuk memenuhi keperluan industri, malah turut membina generasi yang memahami cabaran global berkaitan pembangunan mampan, alam sekitar, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Kelestarian kini semakin menjadi sebahagian daripada ukuran kejayaan sesebuah institusi pendidikan tinggi (IPT), bukan hanya dari segi pengurusan kampus yang mesra alam malah juga menerusi sumbangan universiti kepada pembangunan masyarakat dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Dalam konteks itu, prestasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberi gambaran mengenai potensi pendidikan tinggi di Perlis untuk memberikan impak pada peringkat antarabangsa apabila universiti itu berada dalam kelompok 201 hingga 300 universiti terbaik dunia dalam The Sustainability Impact Rankings 2026,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Promosi Masakan Perlis di Restoran Kampung Melayu di sini bersempena dengan program International Leadership Mobility (ILM) UniMAP hari ini.
Ad Banner
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor 1 UniMAP, puteri-puteri baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail merangkap Pro Canselor 2 UniMAP dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah penarafan itu menilai sumbangan universiti terhadap SDG, sekali gus menunjukkan kekuatan IPT hari ini tidak lagi diukur semata-mata berdasarkan kecemerlangan akademik dan teknologi, malah juga merangkumi impak sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Baginda bertitah dalam masa sama, dimensi pengantarabangsaan turut menjadi semakin penting dalam memastikan pengalaman pendidikan mahasiswa tidak terhad kepada perspektif tempatan.
“Kerjasama rentas negara melalui mobiliti pelajar, penyelidikan bersama, program akademik dan jaringan institusi luar negara membuka peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan kepelbagaian budaya, pendekatan pembelajaran serta perkembangan ilmu di peringkat global.
“Begitu juga dengan agenda kelestarian yang boleh menjadi jambatan antara kekuatan pendidikan teknikal dengan keperluan pembangunan manusia dan alam sekitar,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah teknologi dan inovasi yang lahir daripada IPT perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberikan manfaat kepada masyarakat, industri dan alam sekitar, selaras dengan tuntutan pembangunan yang lebih bertanggungjawab.
Program ILM merupakan satu inisiatif rangkaian antarabangsa dan akademik tahunan yang melibatkan delegasi UniMAP, yang diketuai Tuanku Syed Faizuddin Putra, melawat universiti luar negara dan industri utama untuk memperkukuh pendidikan serantau, memperluas penyelidikan teknikal serta memupuk kepimpinan pelajar.
Turut mengiringi delegasi ILM ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar.
Selain UniMAP, Perlis juga mempunyai beberapa universiti lain termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM).
— BERNAMA