Uzbekistan – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperluas manfaat zakat fi sabilillah menerusi sokongan terhadap aktiviti dakwah, pendidikan dan kebajikan Islam di luar negara, termasuk kepada komuniti setempat di Uzbekistan.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Imam Masjid Minor, Rahmatulloh Domla Sayfuddinov, bagi menyokong aktiviti dakwah, pendidikan dan kebajikan yang memberikan manfaat kepada masjid serta masyarakat setempat.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulai (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut selepas berangkat ke Masjid Minor, Kichik Xalqa Yo‘li, Tashkent.
Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Masjid Minor, yang lebih dikenali sebagai “Masjid Putih” dalam kalangan masyarakat tempatan, merupakan antara mercu tanda keagamaan di Tashkent.
Masjid yang siap dibina pada 2014 itu terletak di pesisir terusan Ankhor dan menampilkan seni bina marmar putih yang menyerlahkan ciri Islam klasik Uzbekistan, selain dilengkapi kemudahan moden.
Masjid Minor yang lebih dikenali sebagai “Masjid Putih” dalam kalangan masyarakat tempatan, merupakan antara mercu tanda keagamaan dan pelancongan yang terkenal di Tashkent.
Pada masa yang sama, MAIPs menyatakan, sumbangan berkenaan turut mencerminkan komitmen MAIPs dalam memperluas manfaat zakat melalui sokongan terhadap pembangunan pendidikan, dakwah dan kebajikan, termasuk kepada institusi keagamaan di luar negara.
Kredit Foto: Istana Arau