11 September 2026. Pauh Putra. Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menzahirkan keprihatinan berterusan terhadap pembangunan modal insan dan pertahanan negara dengan menyantuni seramai 1,885 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari 20 Universiti Awam (UA) seluruh negara.
Inisiatif tersebut disempurnakan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, menerusi penyerahan sumbangan bernilai RM377,000 sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-20 bagi tahun 2026 yang berlangsung di Surau Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam Pauh Putra. Selangor
Baginda yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs berkenan menyerahkan sumbangan kepada wakil-wakil kontinjen PALAPES UA yang bertandang ke Negeri Perlis sempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-44.
Program dimulakan dengan Ceramah Dakwah dan Penerangan MAIPs bertajuk “Satu Saf, Satu Matlamat” bagi menyuntik kesedaran mendalam mengenai kepentingan mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan watan yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis, Ustaz Mohd Rizal Azizan.
Acara berkenaan turut diserikan dengan Keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang berangkat menunaikan Solat Jumaat bersama para jemaah dan warga kontinjen PALAPES. BacaPanduan Pelancongan
Program diteruskan dengan Khutbah Jumaat Khas bertajuk “Wira Muda, Harapan Negara dan Agama” disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan diakhiri dengan Solat Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs menerusi khutbah berkenaan, memperingatkan bahawa tugas mempertahankan tanah air adalah satu tuntutan syarak yang menuntut tiga teras kekuatan utama generasi muda, iaitu kekuatan fizikal yang lasak dan terlatih, kekuatan rohani yang ikhlas berkhidmat kerana Allah SWT, serta kekuatan fikrah yang tajam dalam menangkis cabaran era ledakan maklumat moden.
Usai Solat Jumaat Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menyantuni kesemua 20 kontinjen PALAPES serta meluangkan masa bagi sesi fotografi bersama para pegawai kadet.
Melalui sumbangan dan suntikan kerohanian ini, MAIPs berharap agar seluruh pegawai kadet PALAPES dapat menyemai ikrar keramat “Gagah Setia” untuk menjadi benteng pertahanan yang berwibawa demi agama, bangsa, dan negara tercinta.