PAUH PUTRA, 28 Sept – Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diseru mempersiapkan diri sebagai generasi yang mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, berfikiran kritis, berkemahiran tinggi dan memiliki jati diri kukuh bagi menghadapi tuntutan masa hadapan.
Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kecerdasan buatan (AI) dan teknologi menjadi antara pemacu utama landskap masa hadapan, sekali gus menuntut pelajar memahami serta memanfaatkannya secara bijak.
“Penguasaan teknologi perlu disertai budaya membaca, pemikiran kritis dan amanah supaya pelajar bukan sekadar menjadi pengguna, malah mampu mencipta nilai melalui ilmu dan inovasi,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Kebudayaan sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Sarjana Muda Sidang Akademik 2026/2027 di UniMAP, di sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pro-Canselor UniMAP dan Anakanda Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan barisan pengurusan tertinggi universiti.
Menurut baginda, kecemerlangan akademik perlu dilengkapi kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan serta pengalaman menerusi projek dan aktiviti praktikal bagi meningkatkan kesiapsiagaan pelajar menghadapi alam pekerjaan.
“Penguasaan ilmu dan kemahiran yang selari dengan keperluan industri serta masyarakat akan membentuk graduan yang lebih yakin, kompeten dan bersedia menyumbang,” titah baginda.
Baginda turut menekankan kepentingan keseimbangan antara pencapaian akademik, kesihatan fizikal dan kesejahteraan emosi bagi membentuk pelajar yang seimbang serta berdaya tahan.
“Pengurusan masa yang baik, disiplin diri dan keupayaan mengurus cabaran secara positif penting untuk membantu pelajar mengekalkan prestasi serta membina ketahanan diri sepanjang pengajian,” titah baginda.
Mengakhiri titah, Tuanku Syed Faizuddin menyeru pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang berada di UniMAP untuk membina ilmu, memperkukuh kemahiran, memperluas pengalaman dan meneroka potensi diri.
“Jangan sesekali sia-siakan harapan dan pengorbanan keluarga yang sentiasa mengiringi perjalanan anda,” titah baginda.