Penarafan MyRA UniSIRAJ Naik Kepada Tiga Bintang Tahun Lepas – Raja Muda Perlis

Penarafan MyRA UniSIRAJ Naik Kepada Tiga Bintang Tahun Lepas Raja Muda Perlis2

KANGAR, 5 Okt (Bernama) — Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) terus mencatat perkembangan memberangsangkan dalam agenda penyelidikan apabila penarafan Pentaksiran Penyelidikan Malaysia (MyRA) meningkat daripada dua bintang pada 2024 kepada tiga bintang tahun lepas.

Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniSIRAJ Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah peningkatan itu mencerminkan pengukuhan ekosistem penyelidikan universiti berkenaan yang semakin produktif, berdaya saing dan berimpak.

Baginda bertitah pencapaian itu didorong usaha berterusan universiti dalam memperkukuh penerbitan ilmiah dan penyelidikan berimpak tinggi, selain memacu inovasi, memperluas kolaborasi strategik di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, meningkatkan pengiktirafan kepakaran dan mengkomersialkan hasil penyelidikan.

Ad Banner
Ad Banner
“Pencapaian tiga bintang MyRA ini bukan sekadar peningkatan satu tahap penarafan, malah menjadi petunjuk bahawa pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan UniSIRAJ yang dimiliki oleh MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) telah mula diterjemahkan kepada peningkatan kapasiti dan prestasi penyelidikan universiti.

“Pencapaian tiga bintang MyRA sekali gus memperlihatkan momentum transformasi UniSIRAJ ke arah pembentukan budaya penyelidikan yang lebih kukuh, kolaboratif, produktif dan berorientasikan kecemerlangan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSIRAJ dan Islamic Civilization Center in Uzbekistan (ICCU) di Tashkent, seperti dimaklumkan menerusi kenyataan Istana Arau hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Rafedah Abdul Aziz.

MoU berkenaan ditandatangani Naib Canselor UniSIRAJ Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle, manakala ICCU diwakili Pengarahnya Dr Firdavs Abdukhalikov.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kemajuan agenda penyelidikan UniSIRAJ turut disokong pencapaian penerbitan jurnal berindeks yang melangkaui sasaran, peningkatan penyertaan serta kejayaan dalam bidang inovasi, pengukuhan jaringan kerjasama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain penghasilan projek penyelidikan bernilai tinggi.

Baginda bertitah kerjasama strategik menerusi MoU itu penting bagi memperluas jaringan akademik dan penyelidikan UniSIRAJ di peringkat antarabangsa, khususnya melalui perkongsian kepakaran, pengetahuan serta sumber penyelidikan.

— BERNAMA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.