CHUPING, 12 Mei — Mohd Faizul Ahmad dari Kepala Batas, Pulau Pinang tidak menyangka kunjungannya bersama keluarga ke Ladang Harumango di kaki Bukit Chuping, Perlis menjadi detik istimewa apabila diumumkan sebagai pengunjung ke-10,000 ladang itu bagi tahun 2026.
Lebih bermakna, hadiah penghargaan kepadanya disampaikan sendiri oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pemilik dan Pengasas Harumango Sdn Bhd, Datuk Rick Cheng.
Ladang Harumango yang memasuki tahun ketiga dibuka kepada orang ramai pada musim buah Harumanis Perlis kini semakin berkembang sebagai antara destinasi agropelancongan popular di negeri itu.
Kejayaan ladang berkenaan turut dipacu kerjasama strategik bersama pelbagai agensi pelancongan yang membawa kehadiran pelawat secara berkumpulan, termasuk rombongan bas persiaran dan kelab motosikal, terutama pada hujung minggu serta musim cuti umum.
Selain menawarkan pengalaman menikmati suasana ladang Harumanis Perlis, Harumango turut menyediakan pelbagai produk berasaskan buah ikon Perlis itu seperti ais krim, pulut, pastri dan jus yang menjadi tarikan utama pengunjung.
Keberangkatan baginda berdua mencerminkan sokongan berterusan Institusi Diraja Perlis terhadap pembangunan sektor agropelancongan negeri yang berpotensi merancakkan ekonomi setempat, selain memperkenalkan keunikan Perlis sebagai destinasi pelancongan berasaskan pertanian.
Dalam suasana santai, pengunjung yang hadir turut diajak bersama-sama memotong kek sempena sambutan Hari Ibu bersama Raja Puan Muda Perlis di lokasi berkenaan.
MyHRMIS Mobile  App: Malaysian Government Mobile App Gallery