Raja Muda Perlis bangga disiplin, patriotisme warga PALAPES

Raja Muda Perlis bangga disiplin, patriotisme warga PALAPES

ARAU, 10 Sept — Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa bangga dan kagum terhadap tahap disiplin, kesetiaan serta semangat patriotisme tinggi yang dipamerkan warga Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Malaysia. Dadah

Baginda bertitah, mutu perbarisan yang dipamerkan warga PALAPES bersama jurulatih masing-masing dalam Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar baru-baru ini mencerminkan kesiapsiagaan generasi muda dalam memikul tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

Kontinjen PALAPES yang dipimpin Kapten Muhammad Asraf Saruni itu menghimpunkan kira-kira 2,000 warga PALAPES daripada 20 universiti awam melibatkan tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kehadiran kontinjen berkenaan di Perlis turut melakar sejarah baharu apabila menghimpunkan warga PALAPES dari seluruh negara dalam satu perbarisan berskala besar sempena sambutan Hari Kebangsaan.

“Syabas dan tahniah atas kesungguhan, keteguhan langkah dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan di medan kawad.

“Kehadiran anak-anak muda ini membuktikan bahawa landasan pertahanan negara berada di tangan generasi yang mempunyai azam kukuh demi kedaulatan Raja dan Negara tercinta,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengalu-alukan kehadiran kesemua 1,885 Pegawai Kadet PALAPES, termasuk ahli keluarga mereka, ke Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Universiti Awam Kali Ke-44 yang dijadual berlangsung pada pagi Sabtu, 12 September ini.

Istiadat berkenaan akan berlangsung di Dataran Kawad Baharu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.

Baginda berharap semangat juang, disiplin dan tekad untuk berbakti kepada negara terus membara dalam diri setiap pegawai kadet yang bakal ditauliahkan.

“Semoga semangat sasa dan tekad suci ini terus membara dalam diri setiap warga pahlawan muda sekalian dengan kata-kata, ‘Demi Raja, Demi Negara, Demi Malaysia Tercinta’,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad sebelum sesi sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Mengadap Hijau, Istana Arau.

Pertemuan itu diadakan bersempena persiapan dan penglibatan warga PALAPES dalam Istiadat Pentauliahan Diraja Kali Ke-44, selain memperkukuh hubungan serta kerjasama antara kepimpinan tertinggi negeri dengan ATM.

Baginda bertitah, penyertaan warga PALAPES dari seluruh negara bukan sahaja mencerminkan kekuatan dan kesepaduan generasi muda dalam mendukung pertahanan negara, malah menjadi simbol kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan Negara.

Semangat, disiplin serta keberanian yang dipamerkan mereka perlu terus disemai sebagai kekuatan generasi pewaris yang akan memastikan kedaulatan dan keselamatan Malaysia terus terpelihara. Dadah

Foto: Istana Arau

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.