KUCHING, 27 Jun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Rainforest World Music Festival 2026 yang berlangsung di Sarawak Cultural Village, Santubong.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Gerald Rentap Jabu bersama isteri, Rosemarie Wong.
Festival muzik bertaraf antarabangsa yang memasuki edisi ke-29 itu mengetengahkan tema “Regenerations: Roots & Rhythms” dengan menghimpunkan penggiat muzik dan kebudayaan dari pelbagai negara bagi memartabatkan warisan muzik tradisional serta memperkukuhkan pertukaran budaya di peringkat global.
Persembahan pada hari pertama dimulakan oleh Straw Lim dari Sabah, diikuti Drum Call oleh Drum Up dari Filipina, Korrontzi dari Basque Country, Sepanyol, Insun Park & Generals dari Korea Selatan, Ta’Dan dari Sarawak serta Benin International Musical yang mewakili Benin dan Perancis.
Kemuncak malam pembukaan festival diserikan dengan persembahan lagenda muzik tanah air, M. Nasir yang berjaya menarik perhatian serta mendapat sambutan hangat daripada ribuan pengunjung.
Rainforest World Music Festival kekal sebagai antara festival muzik paling berprestij di rantau ini serta menjadi platform penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya, seni persembahan dan pelancongan budaya Sarawak kepada masyarakat antarabangsa.
MyHRMIS Mobile App: Malaysian Government Mobile App Gallery