Raja Muda Perlis rasmi kejohanan Baibalaa pertama di luar Maldives

Raja Muda Perlis rasmi kejohanan Baibalaa pertama di luar Maldives

SHAH ALAM, 17 Okt – Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama di luar Maldives menjadi tuan rumah kejohanan sukan tradisional Baibalaa menerusi penganjuran Malaysia Baibalaa Challenge 2026 (MBC26) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian kejohanan berkenaan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, di sini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Presiden Jawatankuasa Penganjur kejohanan, Mohamed Humaam Hassan Hisham.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Maldives ke Malaysia, Dr. Mariyam Shabeena Ahmed.

Kejohanan yang berlangsung dari 17 hingga 18 Oktober itu menghimpunkan lima pasukan utama yang bersaing merebut kejuaraan, sekali gus memperkenalkan keunikan sukan warisan Maldives kepada masyarakat Malaysia. Latihanjurutera teknologi

Menariknya, pertandingan itu turut menampilkan barisan pemain elit dari Maldives termasuk bekas pemegang gelaran berprestij ‘Mr. Baibalaa’ yang dibawa khas bagi memeriahkan persaingan.

Baibalaa merupakan sukan tradisional berpasukan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Maldives dan menuntut ketangkasan fizikal, kepantasan, ketahanan serta kebijaksanaan mengatur strategi.

Permainan yang berlangsung dalam gelanggang berbentuk bulat itu mempunyai beberapa persamaan dengan sukan kabaddi, khususnya dari segi pergerakan pantas dan kerjasama antara pemain.

Penganjuran MBC26 menjadi detik penting dalam usaha memperkenalkan Baibalaa ke pentas antarabangsa apabila buat pertama kalinya kejohanan sukan berkenaan dianjurkan sepenuhnya di luar negara asalnya.

Selain menjadi medan persaingan sukan, kejohanan itu turut berperanan sebagai jambatan hubungan kebudayaan dan persahabatan antara komuniti Maldives dengan masyarakat tempatan.

MBC26 dianjurkan oleh Maldives Association for Development Initiative (MADI), sebuah pertubuhan yang aktif memperjuangkan kebajikan serta integrasi pelajar dan komuniti Maldives di Malaysia, dengan kerjasama Baibalaa Association of Maldives.

Penganjuran edisi sulung itu turut menerima sokongan beberapa rakan komuniti termasuk Sidibari, Dhivaysia dan Maldives Centre Malaysia.

Kehadiran Raja Muda Perlis pada majlis perasmian berkenaan turut menyerikan penganjuran kejohanan yang membawa aspirasi memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Maldives menerusi sukan serta pertukaran budaya.

Penganjuran MBC26 diharap menjadi titik permulaan kepada usaha memperluas pengenalan Baibalaa di peringkat antarabangsa, sekali gus memastikan sukan tradisional Maldives itu terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.

– SUARA MERDEKA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content