Raja Muda Perlis: Umat Islam perlu kuasai AI, bukan sekadar jadi pengguna

Raja Muda Perlis Umat Islam perlu kuasai AI, bukan sekadar jadi pengguna

SYDNEY, 12 Ogos 2026 – Umat Islam perlu bergerak ke hadapan dalam menguasai teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), bukan sekadar menjadi pengguna pasif tetapi tampil sebagai pencipta, inovator dan pengembang teknologi. Islam

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah itu penting bagi memastikan ummah kekal relevan, berdaya saing dan tidak ketinggalan dalam arus pemodenan global.

“Umat Islam perlu sentiasa ke hadapan dalam melengkapkan diri untuk menguasai teknologi terkini dan memanfaatkan kemudahan kecerdasan buatan (AI) sebaik mungkin agar ummah kekal relevan, berdaya saing serta tidak ketinggalan dalam mendepani arus pemodenan global,” titah Baginda.

Menurut Baginda, penguasaan teknologi berkenaan perlu melangkaui penggunaan semata-mata dengan generasi muda Islam digalakkan membina kepakaran sehingga mampu menghasilkan inovasi dan teknologi sendiri.

Baginda bertitah, AI juga mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan dalam memperkasakan sistem pendidikan Islam, meningkatkan kecekapan pengurusan institusi keagamaan serta memperluaskan capaian dakwah digital secara kreatif dan interaktif ke seluruh dunia.

Bagaimanapun, Tuanku Syed Faizuddin mengingatkan bahawa penggunaan AI perlu sentiasa dipandu nilai etika, moral dan prinsip syarak yang kukuh. Royalti

Menurut Baginda, teknologi itu perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab untuk menghasilkan maslahah, selain mengelakkan kemudaratan termasuk penyebaran maklumat palsu, fitnah, pencemaran akidah dan manipulasi data.

Baginda turut menekankan kepentingan memelihara ketulenan ilmu dan sumber Islam dalam dunia digital supaya perkembangan teknologi tidak menjejaskan kesahihan ilmu agama.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan Agihan Zakat MAIPs kepada Masjid Darul Imaan di Wolli Creek, New South Wales, baru-baru ini.

Sumbangan itu diterima Pegawai Masjid, Mohamed Sawal Jaffar dan akan dimanfaatkan bagi aktiviti dakwah serta kemasyarakatan fi sabilillah.

Masjid Darul Imaan yang diuruskan Islamic Malay Australian Association of New South Wales (IMAAN) merupakan antara pusat ibadah dan pendidikan Islam yang penting kepada komuniti Melayu Islam di Sydney.

Mengiringi Baginda ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta pegawai Education Malaysia (EM) Australia, Muhammad Razin Khaliq Hadi.

Selain menyediakan kemudahan ibadah, Masjid Darul Imaan menganjurkan kelas pendidikan Islam untuk kanak-kanak setiap Sabtu serta kelas pengajian bagi golongan dewasa.

Masjid berkenaan turut berperanan dalam aspek kebajikan dan pembangunan komuniti menerusi khidmat bimbingan masyarakat, kaunseling agama serta pengurusan maklumat berkaitan plot perkuburan khas di Greendale Garden Cemetery.

Agihan zakat berkenaan merupakan sebahagian usaha MAIPs memperkukuh syiar Islam termasuk menyokong komuniti Islam di luar negara dalam meneruskan aktiviti keagamaan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Inisiatif itu juga memperluaskan jaringan kebajikan dan dakwah Perlis di peringkat antarabangsa, selain memperkukuh hubungan dengan komuniti Melayu Islam di Australia.

FOTO MAIPs

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.