Raja Muda Perlis Zahir Penghargaan kepada Pengarah SPRM Perlis Atas Khidmat Cemerlang

Raja Muda Perlis Zahir Penghargaan kepada Pengarah SPRM Perlis Atas Khidmat Cemerlang

Arau — Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis, PKPj Mohd. Nor Adha Ab Gani, atas khidmat bakti dan komitmen beliau menerajui agensi tersebut sepanjang tempoh dua tahun tujuh bulan.

Penghargaan itu disampaikan baginda dalam satu majlis perpisahan di Istana Arau bersempena dengan kenaikan pangkat dan pelantikan beliau sebagai Pengarah SPRM Negeri Terengganu yang baharu, berkuat kuasa pada 18 Oktober ini.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Arau, pada hari ini. Turut berangkat pada majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam majlis berkenaan, Encik Mohd. Nor Adha turut menyembah maklum pencapaian SPRM Perlis sepanjang tempoh pentadbiran beliau dari tahun 2024 hingga tahun 2026 yang menyaksikan sebanyak 65 kertas siasatan dibuka, 84 tangkapan direkodkan dan 37 pertuduhan dibawa ke mahkamah.

Tindakan penguatkuasaan bersepadu tersebut turut menyumbang kepada pemulihan hasil negara melalui nilai lucut hak berjumlah RM698,255.55.

Bagi pecahan tahunan, sebanyak 20 kertas siasatan dibuka pada 2024 (27 tangkapan, 13 pertuduhan, lucut hak RM323,872.55); 22 kertas siasatan pada 2025 (34 tangkapan, 16 pertuduhan, lucut hak RM374,168.00); serta 23 kertas siasatan bagi 2026 (23 tangkapan, lapan pertuduhan, lucut hak RM215.00).

Selain fokus penguatkuasaan, SPRM Perlis turut mengemukakan sebanyak 61 Syor Penambahbaikan Tata Kelola kepada jabatan dan badan berkanun pada peringkat Persekutuan serta negeri bagi memperkukuh sistem perkhidmatan awam dan menutup ruang rasuah.

Kecemerlangan pentadbiran SPRM Perlis di bawah kepimpinan beliau turut dirangkul menerusi beberapa pengiktirafan, antaranya termasuklah Anugerah Pengurusan KPI Terbaik 2025 dengan penilaian 97.45 peratus, Tempat Ketiga Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik 2025, serta Anugerah Khas Ketua Pesuruhjaya bagi tahun 2024 dan 2025.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar pengalaman yang ditimba sepanjang berkhidmat di Perlis dapat dimanfaatkan sepenuhnya di negeri baharu demi terus memperkukuh integriti, tata kelola dan pembanterasan rasuah negara.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content