Raja Perlis seru jemaah haji berdisiplin, patuhi garis panduan Tabung Haji

Raja Perlis seru jemaah haji berdisiplin, patuhi garis panduan Tabung Haji

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar bakal jemaah haji sentiasa berwaspada dalam menghadapi cabaran semasa termasuk perkembangan geopolitik global, di samping mematuhi segala garis panduan serta arahan yang ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji.

Baginda bertitah, para jemaah juga perlu sentiasa mendengar nasihat petugas haji, menjaga pemakanan serta tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan tahap kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.

Titah tersebut dizahirkan ketika Baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji (KPH) Peringkat Negeri Perlis Musim Haji 1447H/2026M di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Menurut Baginda, ibadah haji menuntut kekuatan fizikal, ketahanan mental serta kesabaran yang tinggi, justeru setiap jemaah perlu membuat persediaan rapi sebelum berangkat.

Baginda turut menegaskan bahawa jemaah haji Malaysia sejak sekian lama dikenali sebagai antara yang berdisiplin, tertib serta berakhlak mulia, dan reputasi tersebut perlu terus dipelihara kerana setiap jemaah membawa imej negara sebagai “duta kecil” Malaysia di mata dunia.

Dalam pada itu, Baginda mengingatkan bahawa peluang menunaikan ibadah haji merupakan satu nikmat besar yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup. Sehubungan itu, para jemaah diseru agar memanfaatkan setiap detik di Tanah Suci dengan memperbanyakkan ibadah seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir, berdoa serta meningkatkan munajat kepada Allah SWT.

Kursus Perdana Haji anjuran Lembaga Tabung Haji Negeri Perlis itu berlangsung pada 11 hingga 12 April lalu dengan penyertaan seramai 450 bakal jemaah haji dari seluruh negeri sebagai persiapan terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan aspek praktikal ibadah, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman, disiplin serta kesiapsiagaan jemaah agar dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan memperoleh haji yang mabrur.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.