SMK Kuala Perlis Cipta Sejarah, Sekolah Pertama Negara Terima Pengiktirafan Google for Education

0bb66fed 5320 465e 9839 ab5d3e3c0106

KUALA PERLIS, 11 Jun 2026 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis mencipta sejarah apabila menjadi sekolah pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menerima pengiktirafan Google for Education Pre-Reference Institution Malaysia, sekali gus mengangkat nama Perlis sebagai peneraju pendidikan digital negara.

Pengiktirafan berprestij itu mencerminkan kesediaan institusi pendidikan di negeri ini mengamalkan standard pendidikan digital bertaraf tinggi serta membangunkan ekosistem pembelajaran yang selari dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, kejayaan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan yang lebih meluas di Perlis dan seluruh negara.

Menurut beliau, pemilihan SMK Kuala Perlis sebagai satu-satunya sekolah di Perlis untuk melaksanakan inisiatif AI-Powered Classroom membuktikan keyakinan KPM terhadap kemampuan sekolah berkenaan menjadi peneraju dalam penerapan teknologi digital dalam pendidikan.

“Komitmen, kesungguhan dan keberanian warga sekolah meneroka pendekatan baharu dalam pendidikan merupakan satu usaha yang wajar dipuji dan dicontohi.

“AI-Powered Classroom adalah contoh terbaik bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di bilik darjah,” katanya pada Majlis Peluncuran Bilik Darjah Dikuasakan AI (AI-Powered Classroom) di Dewan Al-Biruni, SMK Kuala Perlis.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat ialah Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Aniza Kamarulzaman dan Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin.

Inisiatif tersebut dijayakan menerusi kerjasama KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, SMK Kuala Perlis, Google for Education⁠, Sasbadi Sdn. Bhd.⁠, Micro Concept Tech (MCT)⁠ dan Agrobank⁠.

Bagi menjayakan pelaksanaan bilik darjah berasaskan kecerdasan buatan itu, Bahagian Teknologi Pendidikan KPM menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM10,000, manakala Agrobank menyumbang pembelian Chromebook bernilai RM161,000.

Pada majlis sama, Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Program Google for Education Pre-Reference Institution Malaysia.

Pengetua SMK Kuala Perlis, Norihan Kassim menandatangani perjanjian tersebut sebelum menyerahkan dokumen kepada wakil Google for Education Malaysia dan Brunei, Danial Azizan Abdullah Henry, yang kemudiannya menyampaikan plak pengiktirafan kepada pihak sekolah.

Pencapaian ini dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan negara, selain meletakkan Perlis sebagai model rujukan bagi pelaksanaan pendidikan berteraskan kecerdasan buatan dan teknologi digital di sekolah-sekolah Malaysia.

Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.