STEM, kepimpinan pelajar dan inovasi ditekankan di SMK Abi

STEM, kepimpinan pelajar dan inovasi ditekankan di SMK Abi

KANGAR, 3 Mei 2026 — Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan kepentingan penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta penerokaan inovasi tanpa batas dalam kalangan pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia moden.

Baginda bertitah, pendekatan pembelajaran seperti kelas hibrid dan konsep ‘Teacher-based School’ perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkaya ilmu, merangsang kreativiti serta membina pemikiran inovatif yang relevan dengan keperluan semasa.

“Pelajar juga perlu memanfaatkan platform ‘Student Voice’ untuk menyuarakan pandangan secara matang dan berhemah, di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam pembangunan sekolah,” titah Baginda ketika berkenan menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, di sini.

Berangkat sama ialah Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu melibatkan 518 pelajar tingkatan satu hingga tiga.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid) Negeri Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob; Setiausaha Kehormat YTSP, Datuk Johari Mohd Darus; serta Ketua Penyelaras Program Titian Kasih, Mejar Muhamad Azuan Mohd Nasir.

Dalam titahnya, Baginda menggesa pelajar membentuk kepimpinan berani, berfikiran kritis dan berintegriti tinggi demi masa depan lebih gemilang.

Baginda turut berharap kecemerlangan SMK Abi, khususnya dalam bidang ragbi, dijadikan inspirasi. Menurut Baginda, semangat juang, disiplin tinggi serta ketahanan mental yang dipamerkan pasukan “Warrior Abi Perlis” wajar dicontohi dalam membina jati diri.

“Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi medan terbaik membina kekuatan dalaman serta keberanian menghadapi cabaran kehidupan,” titah Baginda.

Pada masa sama, Baginda menzahirkan harapan agar program berkenaan menjadi pemangkin kepada peningkatan akademik, pembentukan sahsiah unggul dan pengukuhan motivasi pelajar.

Sementara itu, Pengetua SMK Abi, Ehsan Sabry Yahaya memaklumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sekolah itu menunjukkan peningkatan apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 5.46 pada 2024 kepada 5.26 pada 2025.

Peratus kelayakan sijil turut meningkat kepada 92.36 peratus berbanding 90.85 peratus sebelumnya, manakala peratus pelajar lulus semua mata pelajaran naik kepada 60.42 peratus berbanding 53.52 peratus.

Selain akademik, sekolah itu terus menyerlah dalam kokurikulum termasuk kejayaan pasukan ragbi di peringkat antarabangsa, penglibatan dalam Program National Rugby Development Program (NRDP) Women Tackle Rugby serta Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan.

SMK Abi turut mencatat pelbagai kejayaan lain antaranya Johan Hafazan peringkat negeri, Anugerah Duta 2025 kategori Airobotik, penyertaan JOTA-JOTI Pengakap Kebangsaan serta kenaikan pangkat Pegawai Waran KASPA.

Sempena majlis itu, Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis turut berkenan merasmikan ‘ACS Music Studio’, sebuah fasiliti khas bagi pembelajaran muzik dan latihan persembahan pelajar sekali gus memperkukuh pembangunan bakat seni di sekolah berkenaan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.