Pusat Berita
Pusat Berita
Tapisan Berita
Paling Terkini
Pelajar yang bijak merancang masa mampu menyiapkan tugasan mengikut tempoh ditetapkan walaupun sibuk dengan aktiviti kokurikulum yang juga penting kerana ia membentuk sahsiah pelajar dengan mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepemimpinan dan pergaulan yang menjadi nilai tambah apabila memasuki alam pekerjaan suatu hari kelak.
Pelajar juga dapat memupuk sifat menepati masa dan disiplin jika mereka menguruskan masa mereka dengan baik. Tekanan mampu dikurangkan jika pelajar menyiapkan tugasan sekolah serta mengulang kaji di awal waktu dan ia dapat dilakukan dengan tenang dan hasil kerja yang lebih berkualiti.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan pelitup separuh muka sumbangan CSR daripada Konsortium Bumita Nepta Sdn Bhd melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Sekolah Kebangsaan Simpang Empat sempena kempen MAIPs bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat, Cergas dan Bersih’ yang diterima oleh Guru Besarnya Tengku Tun Noorani Tengku Senawi pada petang semalam.
Keberangkatan baginda ke salah sebuah projek ‘Sekolah Amanah Jamalullail di bawah tajaan MAIPs’ itu disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut Mohd Nazim, program ‘Sekolah Amanah Jamalullail merupakan salah satu inisiatif MAIPs dalam bidang pendidikan dan ianya telah dilancarkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra pada 3 Mac 2020 yang lalu.
Tambah beliau, sejak diasaskan pada tahun 1920, pendidikan adalah salah satu fokus utama MAIPs dalam meningkatkan sosio ekonomi ummah di negeri ini. Sebagai contoh, pada tahun 1930, Sekolah Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah, Arau ditubuhkan dengan menggunakan dana zakat. Almarhum Syed Alwi Jamalullail yang merupakan Raja Perlis pada ketika itu telah menitahkan agar dibina sebuah bangunan yang lengkap sekolah berkenaan dan berjaya direalisasikan pada tahun 1936.
Naharudeen pula menerangkan bahawa pelaksanaan program ‘Sekolah Amanah Jamalullail’ adalah hasil kerjasama erat antara MAIPs dan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di bawah kendalian Yayasan AMIR melalui LeapED Services yang bermatlamatkan untuk menambah baik hasil pembelajaran bagi setiap pelajar agar lebih mampan melalui matlamat strategik yang memberi fokus terhadap kepimpinan sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa serta masyarakat.
Tengku Tun Noorani pula bersyukur dan berbangga kerana Sekolah Kebangsaan Simpang Empat yang dipimpin oleh beliau dipilih sebagai salah sebuah sekolah yang bertuah terpilih menerima tajaan MAIPs untuk pelaksanaan projek tersebut. “Ini adalah satu anugerah untuk warga sekolah bagi terus mempertingkatkan lagi kemajuan sekolah ini”.
- 2020/10/30 8:07 AM
- Bernama
Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju & Akut Serta Ultrasound Malaysia yang juga dikenali dengan nama ‘Malaysian Advanced Acute Internal Medicine & Ultra Sound Society (MAAIMUSS)’ dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan College of Physicians menganjurkan ‘The 1st National Ultrasound and Enchocardiography Course In The Era of Covid-19, 2020’ yang dilaksanakan secara webinar dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra Perlis pada selasa, 27 Oktober 2020.
Titah perasmian seminar selama sehari suntuk itu akan disempurnakan secara digital oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Demikian dimaklumkan oleh Presiden MAAIMUSS, Prof Datuk Dr Paras Doshi yang merupakan Pakar Perunding Perubatan Dalaman Maju dan Akut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar selepas mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ke sesi taklimat program yang diadakan di HTF baru-baru ini.
Paras mewakili MAAIMUSS menjunjung setinggi-tinggi kasih dan mempersembahkan ucapan penghargaan di atas limpah perkenan Tuanku Raja Muda Perlis, yang sudi menerima pelantikan sebagai Penaung DiRaja persatuan berkenaan untuk tempoh selama 5 tahun bermula 15hb Oktober 2020 hingga 14hb Oktober 2025.
- 2020/10/28 8:56 AM
- Bernama
KANGAR: Wanita seawal usia 20 tahun disaran memantau kesihatan diri secara berterusan dan mempelajari teknik pemeriksaan payudara supaya boleh melakukannya sendiri di rumah.
Pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, Dr. Nurhafizah Shamsudin berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka mengesan keadaan luar biasa pada payudara masing-masing kerana kanser boleh dikesan dengan melakukan saringan awal.
Katanya, pengesanan awal kanser payudara penting supaya rawatan dapat dilakukan lebih awal sebelum barah tersebut menjadi lebih teruk.
“Selain itu, peluang untuk sembuh sepenuhnya adalah lebih baik apabila kanser payudara dikesan pada tahap awal.
“Kanser payudara tidak hanya memberi kesan kepada pesakit tetapi kepada pasangan, anak-anak dan ahli keluarga lain yang turut merasai tempias penderitaan mereka,” katanya pada majlis promosi Bulan Kesedaran Barah Payudara Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi Zon Arau di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang di sini hari ini
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda ke program sempena kempen Rakyat Perlis Hidup Sihat dan Bersih itu disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim.
Sementara itu, Sirajuddin memberitahu, Oktober adalah bulan kesedaran barah payudara yang disambut setiap tahun bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai selain mendidik serta menyokong mereka yang menghidap penyakit tersebut.
Untuk rekod, dari laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, secara keseluruhan tiga jenis kanser paling kerap berlaku di negara ini iaitu payudara (19 peratus), kolorektal (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus). – UTUSAN ONLINE
- 2020/10/23 3:11 PM
- Utusan Online
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan simbolik promosi ‘Bulan Kesedaran Barah Payudara Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bagi Zon Arau’ yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri di perkarangan Klinik Kesihatan Kuala Sanglang pada petang semalam.
Keberangkatan tiba baginda ke program sempena kempen ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat dan Bersih’ itu disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim dan Pegawai Perubatan Yang Menjaga Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, Dr Nurhafizah Shamsudin.
Sirajuddin memaklumkan bahawa pada bulan Oktober setiap tahun adalah merupakan bulan kesedaran barah payudara yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai selain mendidik dan menyokong mereka yang menghidap penyakit ini.
Nurhafizah pula menerangkan bahawa kanser payudara boleh dikesan dengan melakukan saringan awal. Wanita seawal usia 20 tahun disaran memantau kesihatan diri dari semasa kesemasa dan mempelajari teknik pemeriksaan sendiri payudara supaya boleh melakukannya sendiri di rumah bagi mengesan keadaan luar biasa pada payudara masing-masing.
Menurut beliau, pengesanan awal kanser payudara adalah penting supaya rawatan dapat dilakukan awal sebelum barah menjadi lebih teruk. Selain itu, peluang untuk sembuh sepenuhnya adalah lebih baik apabila kanser payudara dikesan pada tahap awal. Kesan kanser payudara tidak hanya memberi kesan kepada pesakit, tetapi juga kepada pasangan, anak-anak dan ahli keluarga lain turut merasai tempias penderitaan mereka.
Nurhafizah turut memaklumkan bahawa di bawah Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, terdapat 4 klinik desa iaitu KD Sungai Padang, KD Kepala Batas, KD Padang Keria dan KD Serdang yang merangkumi 14,296 orang populasi. Terdapat 64 staf kesihatan perbagai jawatan berkhidmat di klinik yang dirasmikan oleh Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 15 Julai 1966 ini. Antara perkhidmatan yang disediakan merangkumi perkhidmatan pesakit luar, ibu dan anak serta pesakit kronik, perkhidmatan kecemasan, perkhidmatan berhenti merokok dan penjagaan luka, selain klinik pergigian.
Untuk rekod, menurut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, secara keseluruhan 3 jenis kanser yang paling kerap berlaku di negara ini adalah kanser payudara (19 %), kanser kolorektal (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%). Kanser payudara merupakan kanser yang paling banyak berlaku di kalangan wanita iaitu 34.1%. Malangnya, 47.9 % daripada keseluruhan kanser payudara yang dikesan pada tahap yang lewat iaitu tahap 3 dan 4 di mana sel kanser telah merebak ke organ lain.
Di akhir program yang sama Tuanku Raja Muda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkenan menyerahkan pelitup muka sumbangan CSR daripada Konsortium Bumita Nepta Sdn Bhd melalui MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada wakil-wakil daripada SJKC Chin Han Sanglang (300) dan SK Sanglang (500).
- 2020/10/23 2:39 PM
- Utusan Online
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama-sama Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan menganjurkan Seminar Warisan Nabawi (SWAN) Peringkat Antarabangsa Kali Ketujuh Tahun 2020 pada hari khamis dan jumaat 29 hingga 30 Oktober 2020 bersamaan 12 & 13 Rabiul Awal 1442 Hijrah yang akan datang ini dengan kerjasama Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Majlis pelancaran secara telesidang bakal disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan juga Tuanku Canselor KUIPs.
Tema seminar yang diadakan secara digital pada kali ini ialah “Peaceful Co-Existence in Religious Diversity from Prophetic Paradigm: Challenges and Opportunities”.
Antara para pembentang utama yang diundang ialah Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis dan Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Haji Othman, Rektor KUIPs.
Terakhir sekali SWAN diadakan ialah pada Oktober 2018 di International University for Renewal (IUR), Istanbul, Turki yang turut dirasmikan oleh baginda.
- 2020/10/23 9:33 AM
- Bernama
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat negeri ini supaya sentiasa ‘Think Red, Protect Green’ dengan berwaspada dan berfikir seperti berada di kawasan ‘Merah’ namun setiap aktiviti pencegahan hendaklah dilaksanakan bagi melindungi negeri Perlis yang masih kekal ‘Hijau’ pada ketika ini.
Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat singgah mengadakan tinjauan ke projek pembinaan Kompleks Mahkamah Baharu Kangar di Mukim Seriab yang dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan sempena program ‘MAIPs Peduli Kali ke 52 bagi tahun 2020’ yang bermula dan berakhir di perkarangan Taman Bunga Kertas Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Kangar pada petang semalam.
- 2020/10/23 9:19 AM
- Bernama