Oleh: Sholina Osman
24 OGOS 2025
Lebih 50 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada Persatuan Superbikers Association of Malaysia (SAM) Kelantan termasuk dari Thailand telah menyertai Merdeka International Ride SAM Kelantan 2025 (MIRSK 25) berkonvoi ke Perlis baru-baru ini.
Dalam siri jelajah ini, para peserta turut melawat destinasi pelancongan utama yang menjadi tumpuan pengunjung di Negeri Perlis antaranya, Galeri DiRaja Arau, projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, Plaza Niaga Padang Besar Street, Qasim Bukit Chabang Mari, Empangan Timah Tasoh dan juga beberapa lagi tarikan istimewa negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat menyantuni para peserta MIRSK 25 tersebut.
TAHUN MELAWAT PERLIS
Konvoi ini telah bermula dari Dataran Mahsari, Tanah Merah, Kelantan sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang untuk bermalam sebelum ke negeri ini bagi sama-sama membantu menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang dilanjutkan sehingga ke tahun hadapan bagi disekalikan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dari Perlis, mereka merentasi sempadan ke Hatyai, Thailand, dan pulang ke Kelantan merentasi Sungai Golok.
AMAT MENJUNJUNG KASIH
Para peserta amat menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tuanku Raja Muda Perlis meluangkan masa bersama ahli rombongan dari Padang Besar ke Bukit Chabang dan Empangan Timah Tasoh.
Mereka juga amat teruja dengan keindahan alam semulajadi yang dikurniakan oleh Allah kepada negeri Perlis.
Di samping itu masyarakat setempatnya yang peramah dan suka membantu serta sajian makanan yang enak sekali dengan harga yang masih berpatutan di kebanyakan lokasi yang mereka singgahi dan wanar dikekalkan untuk terus menarik pengunjung ke sini. – JM