KUALA PERLIS, 30 Okt – Sebuah dewan komuniti baharu bernilai RM400,000 di Kampung Seberang Tok Pi, di sini, diberi nama Dewan Komuniti Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail sebagai pusat pembangunan belia dan pengukuhan perpaduan masyarakat setempat.
Dewan yang dibina menerusi peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Kemudahan berkenaan diwujudkan sebagai Pusat Komuniti Belia (PKB) bagi menyediakan ruang kepada golongan muda mengembangkan potensi diri menerusi aktiviti persatuan, kesukanan, program kepimpinan dan pembangunan komuniti.
Pembinaan dewan itu merupakan cetusan idea Raja Muda Perlis yang mahu menyediakan kemudahan kondusif kepada golongan belia untuk membina kemahiran, memupuk semangat kerjasama serta membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya saing dan bertanggungjawab.
Selaras dengan tema “Perkukuh Perpaduan Komuniti”, dewan berkenaan turut berfungsi sebagai platform integrasi masyarakat yang menghimpunkan pelbagai lapisan penduduk, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi aktiviti kemasyarakatan.
Kemudahan itu juga dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk Kampung Seberang Tok Pi dan kawasan sekitarnya melalui penganjuran program kekeluargaan, sukan, kepimpinan belia serta aktiviti kejiranan secara lebih tersusun.
Selain menyediakan ruang pertemuan antara generasi, dewan berkenaan diharap dapat mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap kemudahan baharu itu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat aktiviti komuniti yang aktif dan berdaya guna.
Baginda turut menaruh harapan agar dewan tersebut bukan sahaja menjadi medan melahirkan belia yang positif dan berpotensi, malah berperanan memperkukuh semangat kebersamaan serta membina masyarakat harmoni dan bersatu padu.
Terdahulu, keberangkatan tiba Raja Muda Perlis disambut Setiausaha Bahagian Pembangunan KBS, Amir Hamzah Awang Ghazali dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Negeri Perlis (MPNPs), Haji Affendi Rajini Kanth.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Mohammad Suhaimi Md Saad serta Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis, Musa Kamis.
Foto: MAIPs
SUARA MERDEKA