KUALA LUMPUR, 30 Okt – Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat melawat Pameran Kraftangan bersempena Mesyuarat Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 40/2026 di Wisma Perwira Tentera Darat (WPTD), Kem Perdana Sungai Besi, di sini, baru-baru ini.
Menurut laporan Istana Arau, pameran itu mengetengahkan pelbagai hasil kraftangan buatan tangan anggota Rejimen Siri 500 Askar Wataniah dari seluruh negara.
Pameran berkenaan bukan sahaja menyerlahkan kreativiti, kemahiran dan bakat anggota dalam menghasilkan produk kraftangan yang unik, malah memperlihatkan kepelbagaian kebolehan warga Askar Wataniah di luar bidang ketenteraan.
Penganjurannya turut menyediakan platform kepada setiap pasukan untuk memperkenalkan hasil kraftangan masing-masing kepada pengunjung, sekali gus menggalakkan perkongsian idea serta pengembangan bakat dan kemahiran anggota.
Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis turut mengambil bahagian dengan membuka gerai pameran khas bagi mengetengahkan hasil kraftangan pasukan berkenaan.
Keberangkatan Raja Puan Muda Perlis ke pameran itu turut mencerminkan perhatian dan sokongan terhadap usaha memperkasa kreativiti serta pembangunan potensi anggota Askar Wataniah.
Foto: Istana Arau