36 kajian FCoEE pacu intervensi kemiskinan berasaskan bukti – Raja Muda Perlis

36 kajian FCoEE pacu intervensi kemiskinan berasaskan bukti – Raja Muda Perlis

MEDAN 15 Sept. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa momentum penyelidikan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) terus diperkukuh menerusi Geran Penyelidikan Fasa II (2024/2025) yang menyaksikan peningkatan kepada 36 Geran Penyelidikan Jangka Pendek (STG).

Baginda bertitah, skop penyelidikan turut diperluas meliputi isu keusahawanan asnaf, dana zakat dan wakaf, konflik dan tekanan asnaf, celik kewangan, kesihatan, STEM, motivasi, pengajaran dan pembelajaran serta kebolehpasaran.

“Perkembangan ini memperlihatkan peralihan FCoEE kepada pendekatan penyelidikan yang lebih holistik dalam memahami dan menangani isu pendidikan serta sosioekonomi masyarakat.

“Daripada 36 kajian tersebut, pelbagai data dan dapatan berkaitan cabaran serta peluang komuniti, khususnya golongan asnaf, telah dihasilkan.

“Penyelidikan ini melihat isu kemiskinan bukan semata-mata dari sudut bantuan, sebaliknya turut merangkumi aspek pendidikan, kemahiran, keusahawanan, literasi kewangan, kesejahteraan dan mobiliti sosial,” titah Baginda. DermaTabung Makanan

Menurut Baginda, dapatan penyelidikan berkenaan menjadi asas penting kepada pembangunan intervensi masyarakat yang lebih bersasar, praktikal dan berasaskan bukti, sekali gus memastikan hasil penyelidikan memberi manfaat yang lebih nyata kepada komuniti.

Dalam usaha memperluas impak hasil penyelidikan ke peringkat antarabangsa, FCoEE turut menganjurkan International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE) di Medan, Indonesia.

Baginda bertitah, persidangan tersebut menjadi platform yang menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, agensi kerajaan dan rakan strategik bagi berkongsi pendekatan serta pengalaman dalam usaha membasmi kemiskinan dan memperkasa masyarakat.

“ICOHOPE bukan sekadar wadah perkongsian ilmu, tetapi turut membuka ruang kepada pertukaran idea, perkongsian amalan terbaik, pembentukan jaringan serta kolaborasi strategik yang boleh diterjemahkan kepada tindakan dan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat,” titah Baginda.

Baginda turut menzahirkan bahawa hasil penyelidikan Fasa I dan Fasa II FCoEE telah diterjemahkan kepada pelbagai output berimpak, antaranya satu persidangan kebangsaan, satu persidangan antarabangsa di Medan, 16 pendaftaran harta intelek, empat prosiding, lima buku berkaitan asnaf serta 105 penerbitan.

Daripada 105 penerbitan tersebut, ia merangkumi penerbitan dalam jurnal, bab dalam buku, artikel keratan akhbar dan artikel majalah.

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan FCoEE menterjemahkan penyelidikan kepada bukti, dan seterusnya mengembangkan hasil tersebut kepada platform, peluang serta tindakan yang mampu memperkasa masyarakat,” titah Baginda.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahab sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Raya Al-Mashun, Kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia.

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.

Pada majlis berkenaan, sumbangan MAIPs diterima oleh Khairul Hamdy Lc. M.A. bagi menyokong pengimarahan masjid, pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan serta usaha memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan perpaduan masyarakat.

Sumbangan tersebut turut mencerminkan keprihatinan MAIPs dalam menyokong usaha pengimarahan institusi masjid serta memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama dalam bidang keagamaan antara Perlis dan Sumatera Utara.

Masjid Raya Al-Mashun, atau lebih dikenali sebagai Masjid Raya Medan yang telah mula digunakan sejak tahun 1909, merupakan antara mercu tanda bersejarah utama Kota Medan yang terkenal dengan keunikan seni bina dan nilai warisan Islamnya.

Masjid yang terus menjadi pusat kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan itu turut memainkan peranan penting dalam memelihara warisan, identiti budaya serta menyatukan masyarakat setempat.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.