MEDAN, 14 Sept — Jaringan pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh menerusi pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan beberapa institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan pemeteraian empat MoU berkenaan pada majlis santapan malam sempena Istiadat Pemasyhuran Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Le Polonia Hotel & Convention Medan, Sumatera Utara.
Empat MoU itu melibatkan kerjasama antara UMAM dengan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ); UMAM dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU); UniSIRAJ dengan UMSU; serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan Majelis Diktiitbang Pimpinan Pusat Muhammadiyah.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut Naib Canselor UMAM, Dr H. Saidul Amin; Rektor UMSU, Prof Dr Akrim dan Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Shahril Nizam Abdul Malek. JAKIM
Kerjasama strategik itu merangkumi pengukuhan jaringan akademik dan penyelidikan, perkongsian kepakaran, pertukaran ilmu serta pembangunan bakat.
Pemeteraian tersebut dijangka membuka ruang lebih luas kepada institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia untuk menterjemahkan hubungan sedia ada kepada program bersama yang memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa, ahli akademik dan masyarakat.
Ia juga mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai antara jambatan penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Indonesia.
Kerjasama itu turut selari dengan usaha memperkasa jaringan institusi pendidikan tinggi serantau, khususnya dalam menghadapi perubahan teknologi, keperluan pembangunan bakat dan cabaran pendidikan masa hadapan.
Majlis santapan malam berkenaan turut menghimpunkan pemimpin institusi pendidikan tinggi, tokoh akademik serta wakil pelbagai organisasi dari Malaysia dan Indonesia.
Pemeteraian empat MoU itu menjadi satu lagi langkah strategik dalam memperluas ekosistem kerjasama pendidikan tinggi merentas sempadan, khususnya menerusi penyelidikan, mobiliti akademik, perkongsian kepakaran dan pembangunan modal insan.