Raja Muda Perlis: Masjid perlu jadi pusat ilmu, belia dan kebajikan masyarakat

Raja Muda Perlis Masjid perlu jadi pusat ilmu, belia dan kebajikan masyarakat

KANGAR, 23 Sept — Masjid dan surau di Perlis perlu terus diperkasa sebagai institusi yang makmur sepanjang masa dengan pengimarahan tidak hanya diukur berdasarkan jumlah jemaah yang menunaikan solat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, masjid sebaliknya perlu dipenuhi dengan majlis ilmu, program pembangunan belia, aktiviti wanita, kelas al-Quran, kebajikan masyarakat dan pembangunan keluarga.

Baginda bertitah, pelbagai program yang mampu mendekatkan umat Islam kepada Allah SWT juga perlu diperbanyakkan bagi memastikan masjid sentiasa menjadi tumpuan masyarakat daripada setiap lapisan umur.

“Masjid yang makmur ialah masjid yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat dalam setiap lapisan umur.

“Jawatankuasa masjid dan surau juga diharapkan sentiasa bersifat terbuka, mesra masyarakat serta memanfaatkan perkembangan teknologi dan media sosial secara berkesan dalam menyampaikan mesej serta mendekati generasi muda,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sempena program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Baroh, Santan, di sini.

Baginda bertitah, kejayaan sesebuah institusi masjid turut dinilai menerusi keupayaannya melahirkan masyarakat yang bertakwa, berilmu, bersatu padu dan berakhlak mulia.

Baginda yakin dengan komitmen semua pihak, institusi masjid dan surau di Perlis akan terus berada di hadapan dalam aspek tadbir urus, pengimarahan serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Sementara itu, Kayuhan MAIPs Peduli merupakan antara inisiatif MAIPs untuk mendekati golongan asnaf secara langsung, meninjau keadaan kehidupan mereka dan menyampaikan bantuan berdasarkan keperluan.

Program itu pada masa sama bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi agama dengan masyarakat.

Sempena kayuhan berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga keluarga asnaf terpilih.

Masing-masing menerima wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah.

Penerima ialah Siti Esah Mat Isa, 74; Noor Hayati Hassan, 44; dan Hasan Lahman, 71, yang kesemuanya dari Kampung Baroh, Santan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.