ARAU, 22 Sept – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima mengadap Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya di Balai Mengadap Biru, Istana Arau di sini.
Turut hadir Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang Wanton Saragih Sidauruk.
Pertemuan itu mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Indonesia yang terus berkembang, termasuk hubungan antara Perlis dengan republik berkenaan yang telah terjalin sejak sekian lama.
Kedudukan Perlis yang bersempadan dengan Thailand serta berhampiran wilayah utara Sumatera turut memberi kelebihan strategik kepada negeri itu dalam memperkukuh hubungan rentas sempadan dan jaringan kerjasama serantau.
Hubungan Perlis dan Indonesia turut diperkasa menerusi kerjasama dalam bidang pendidikan, antaranya melalui penubuhan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Perlis, yang merupakan universiti Muhammadiyah pertama ditubuhkan di luar Indonesia.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini dimasyhurkan sebagai Canselor pertama UMAM.
Selain pendidikan, kerjasama Perlis dan Indonesia turut meliputi sektor ekonomi, perdagangan, pelancongan serta hubungan masyarakat yang membuka lebih banyak ruang bagi pertukaran kepakaran, penerokaan peluang ekonomi dan manfaat bersama.
Raden Datuk Mohammad Iman dilantik sebagai Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia pada 8 Okt 2025.