News Centre
News Centre
News Filter
Latest News
Demikian diisytiharkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama lslam dan Adat lstiadat Melayu Perlis (MAlPs) di masjid berkenaan.
Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan yang mengiringi baginda, keputusan pertukaran nama ini telah disokong dan disahkan oleh Mesyuarat MAIPs yang dipengerusikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra sendiri sebelum ini dan telah memperoleh limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Jelas Dr Hazman, ‘Pengorbanan dan perjuangan Khalifah Uthman Bin Al-Affan diabadikan pada nama masjid berkenaan. Khalifah Rasyidin ketiga ini merupakan bangsawan dan hartawan Quraisy, menjadi antara individu terawal memeluk Islam. Bahkan beliau juga dianggap tokoh pertama mempelopori projek pembukuan kitab Al-Quran selepas sempurna diwahyukan, sehingga digelar sebagai “Mushaf Uthmani” bersempena nama beliau’.
‘Beliau turut mendapat penghormatan untuk memperisterikan bukan satu tetapi dua orang puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum sehingga digelar “Dzun Nurain” yang bermaksud ‘dia yang memiliki dua cahaya (dua puteri Nabi)’.
‘Penukaran nama masjid ini merupakan sebahagian inisiatif MAIPs untuk memperkukuhkan jati diri negeri Perlis sebagai bumi Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948’ terang Dr Hazman.
Perlis sebagai Negeri Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang teguh dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW bahawa para sahabat baginda seperti Khalifah Uthman merupakan sebaik-baik umat Islam selepas baginda, wajib mengikuti jalan para sahabat, meyakini keadilan mereka, redha dan mendoakan mereka, namun tidak melampau dalam mengagungkan mereka.
Sebelum majlis simbolik penyerahan surat pengisytiharan yang disaksikan oleh Tuanku Raja Muda itu disempurnakan, telah dilaksanakan juga ceramah bertajuk ‘Rakyat Perlis Benci Najis Dadah’ yang disampaikan oleh wakil daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri.
Sumber: Suara Merdeka
- 2020/12/21 9:35 AM
- Suara Merdeka
Seseorang pelajar itu perlu menanamkan dalam diri untuk berinteraksi dan peka dengan keadaan sekeliling ibarat ‘sesumpah’ yang boleh berubah mengikut keadaan.
Pelajar harus pantas menerima sebarang perubahan contohnya situasi kini di mana pelajar perlu melalui pembelajaran dalam talian, maka suka atau tidak pelajar harus mengadaptasi perubahan ini demi mendalami ilmu dan cemerlang dalam pengajian. Jangan rasa sedih atau tertekan dengan perubahan ini tetapi sentiasa berfikirkan positif serta yakin bahawa ada hikmah di sebaliknya.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Program Jalinan Mesra Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2019/2020 bersama Tuanku Canselor dan Tuanku Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di perkarangan Istana Arau.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor universiti beserta anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Tuanku Raja Muda yang juga selaku Tuanku Canselor UniMAP menambah bahawa apabila semua MPP menamatkan tempoh tanggungjawab pada bulan Januari yang akan datang, maka masing-masing akan kembali menjalani kehidupan biasa sebagai pelajar dan tidak lagi memegang jawatan. Tetapi ingatlah bahawa mereka pernah menjadi pemimpin dan tidak memegang jawatan itu tidak bermakna harus hilangkan karisma seperti ketika menjadi pemimpin dahulu. Walau hanya sebagai bekas pemimpin, pelajar perlu tonjolkan kewibawaan diri dan menjadi contoh kepada yang lain. Pamerkanlah nilai dan akhlak murni supaya terus dicontohi, dihormati serta dikenang sebagai MPP yang berkaliber.
Seterusnya Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan kepada semua MPP supaya
bila ‘kembali’ dalam kelompok pelajar biasa, haruslah bertindak sebagai agen perubahan kepada pemikiran dan tingkah laku rakan-rakan. Dekatkanlah diri dengan kelompok pelajar lain serta sampaikanlah agenda universiti. “Sebelum ini, andalah ‘jurucakap’ serta ‘wakil’ kepada rakan-rakan dengan menyalurkan permasalahan mereka kepada universiti. Kini, tibalah masanya untuk menyampaikan pula hasrat dan harapan UniMAP terhadap para pelajar”.
Pada kesempatan yang sama baginda turut menitahkan ucapan berbanyak terima kasih dan tahniah kepada seluruh barisan kepimpinan MPP dan pengurusan UniMAP di atas segala sumbangan sepanjang menghadapi COVID-19 ini. Tahniah juga kepada Yang DiPertua MPP, Syahirunnisa Ramli yang telah berjaya menggerakkan semua MPP untuk berkhidmat kepada rakan-rakan yang berada di kolej sepanjang PKP yang lalu dan jasa tersebut akan kekal dikenang.
Program yang diatur menarik tersebut melibatkan para MPP UniMAP mengadakan kunjungan ke Galeri DiRaja Arau, menyertai tele-match serta menghadiri majlis santapan dan penyampaian hadiah.
- 2020/12/17 3:15 PM
- Bernama
Masa yang paling efektif dalam membentuk jati diri dan menggilap potensi kendiri seseorang dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat dan watan adalah ketika usia muda belia.
Anak muda harus terus berkarya, mencetus idea dan pandangan ke arah masa depan negeri dan negara yang lebih gemilang.
Pada masa yang sama, dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang, ditambah perubahan persekitaran ekonomi dan sosial pasca penularan Covid-19, golongan belia harus memanfaatkan teknologi untuk mencari ruang dan peluang untuk terus berbakti. Di samping kesibukan dalam mempersiapkan diri, golongan muda juga harus bergerak bergandingan tangan dan bahu, merancang dan mencorak ke arah membina bangsa yang berperadaban.
Demikian ucapan Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, anakanda sulung kepada Tuanku Raja Muda Perlis ketika merasmikan ‘Program Perlis Youth Takeover Tahun 2020’ yang diadakan di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar.
Ketibaan Puteri Sharifah Khatreena ke program bagi menjayakan agenda pemerkasaan warga belia dan anak muda di negeri Perlis yang dianjurkan secara bersama oleh Impact Malaysia, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis serta PVAC itu disambut oleh Pengerusi Perlis Volunteer Action Community (PVAC), Effendey Harun.
Turut hadir ke ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Mohamad Hazam Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut Puteri Sharifah Khatreena lagi, dengan asas dan perancangan kemajuan yang sedang dirancang di negeri Perlis, melalui beberapa projek kemajuan berimpak tinggi seperti pewujudan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), pembinaan Perlabuhan Darat Perlis, pembinaan Jeti Bersepadu di Sanglang selain pelaksanaan ‘Perlis Go Digital’, memerlukan anak-anak muda yang dapat memenuhi dan bersedia mengambil alih pengurusan dan keperluan masa depan, selari dengan nama program berkenaan iaitu ‘Perlis Youth Takeover’.
Puteri Sharifah Khatreena juga turut menarik perhatian semua, untuk sentiasa cakna dengan pelbagai inisiatif yang dirancang oleh pelbagai agensi dan jabatan yang memerlukan penglibatan golongan belia termasuklah Projek Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang mengalu-alukan penyertaan dan sumbangan golongan muda untuk tampil kehadapan bagi melibatkan diri secara langsung mahupun tidak langsung.
- 2020/12/17 3:13 PM
- Bernama
Pengurusan yang cekap, telus dan efisyen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjaya dibuktikan susulan penganugerahan Sijil Audit Bersih oleh Ketua Audit Negara kepada agensi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor berkata, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan terhadap penyata kewangan MAIPs bagi tahun 2019 dan bersetuju mengeluarkan Sijil Tanpa Teguran yang membuktikan bahawa penyata kewangan yang disediakan MAIPs telah dipersembahkan mengikut piawaian yang diterima pakai, serta diamalkan secara konsisten dan seragam.
Menurutnya, kejayaan MAIPs mengekalkan kecemerlangan 8 tahun berturut-turut itu, menggambarkan kesungguhan warga MAIPs dalam menjunjung tinggi prinsip integriti dalam setiap urus tadbirnya.
Pengarah Audit Negeri Perlis, Abd Aziz Che Daud ketika mengulas mengenai prestasi pengurusan MAIPs berkata, tindakan penambahbaikan serta merta yang dilaksanakan selain kesungguhan warganya dalam melaksanakan perubahan ke arah yang lebih baik.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyaksikan persembahan ‘Sijil Tanpa Teguran Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan MAIPs Tahun 2019’ tersebut yang diserahkan oleh Abd Aziz Che Daud kepada Mohd Nazim di Dewan Kuliyyah MAIPs, Behor Temak Kangar.
Pada kesempatan yang sama, baginda menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang zakat melalui MAIPs selama ini selain turut menyeru agar semua menggunakan kesempatan berada di penghujung tahun 2020 ini untuk terus menerus menyalurkan sumbangan mereka melalui agensi tersebut.
- 2020/12/17 3:11 PM
- Bernama
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengharapkan agar usaha-usaha persiapan penganjuran Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) 2020 yang telah diperaku tunda pelaksanaannya kepada 24-30 Julai 2021 di Perlis haruslah diaktifkan semula dengan sebaik mungkin.
‘Kita mengambil perspektif bahawa kejohanan tersebut ‘tetap dilaksanakan’ walaupun dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih belum reda’.
Justeru, baginda berharap supaya semua pihak perlu mengambil inisiatif untuk melihat kembali ‘status dan progres’ persiapan masing-masing. Tindakan awal amat diperlukan supaya pihak penganjur tidak ‘terlepas pandang’ perkara-perkara penting untuk diselaraskan.
Demikian titah Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) ketika berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Woodball Merebut Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2020’ yang diadakan di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Prof Emeritus Ir Ts Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Timbalan beliau, Zaharin Haris.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Kamarudin memaklumkan bahawa sebagai usaha memeriahkan lagi suasana WCWC Perlis 2020, beberapa kejohanan telah dikenal pasti dijadikan sebagai pembuka tirai atau ‘Road to WCWC Perlis 2020’ seperti Liga Tertutup Perlis, Kejohanan Woodball Kebangsaan, Liga Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2021, Piala Presiden, Piala Tuanku Canselor UniMAP, Terbuka Perlis serta Matriculation Challenge.
Pada kali ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara merebut ‘Kejohanan Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2020’ diikuti Jabatan Kesihatan Negeri di tempat kedua, Hospital Tuanku Fauziah (ketiga) dan Kolej Matrikulasi Perlis (keempet).
Sementara itu, dalam pertandingan merebut ‘Piala Presiden 2020’ pula, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis menjadi johan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis (kedua), Jabatan Pendidikan Negeri (ketiga) dan Jabatan Kehakiman Syariah (keempat).
Turut disempurnakan ialah penyampaian hadiah-hadiah bagi kategori jemputan ketua-ketua jabatan yang diungguli oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis, Ruhisha Haris sebagai juara, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis Hj Abdul Muhaimin Osman (Naib Juara) dan Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad di tempat ketiga
Untuk rekod, kejohanan woodball ini telah dijalankan sebanyak 4 pusingan secara berkumpulan sebelum memasuki pusingan kedua, yang telah bermula pada 12 September 2020 yang lalu dengan melibatkan sebanyak 38 buah pasukan terdiri daripada jabatan dan badan berkanun Negeri dan Persekutuan di Perlis.
- 2020/12/15 9:33 AM
- Bernama
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan para pemimpin agar sentiasa mendahulukan agenda kesejahteraan rakyat dengan mengetepikan segala kepentingan peribadi.
Titah baginda, kesejahteraan rakyat perlu menjadi fokus utama semua pemimpin dalam mendepani cabaran dan situasi semasa.
“Para pemimpin perlu mempunyai sikap mengutamakan kepentingan rakyat serta mengenepikan kepentingan peribadi.
“Mereka yang bersedia untuk bekerjasama dan berkolaborasi merupakan ciri kepimpinan cemerlang yang didambakan rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd. Muzzammil Ismail di Masjid Al-Ittifaqiah, Mengkuang Layar di sini hari ini.
Sementara itu Mohd. Muzzammil ketika sesi mengadap berkenaan, memaklumkan mengenai beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Yayasan Peneraju bagi mempertingkatkan penguasaan bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi melalui akademik, persijilan profesional dan kemahiran.
Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor ketika mengulas mengenai bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan bersama Yayasan Peneraju itu berkata, aspek keperluan dan kesediaan menjadi elemen utama dalam mengenal pasti kolaborasi yang dijalinkan itu.
“Perkongsian hasrat dan matlamat antara kedua pihak juga adalah faktor yang mendorong kerjasama dalam pendidikan dan kemahiran golongan sasar,” katanya.
-UTUSAN ONLINE
- 2020/12/14 10:37 AM
- Utusan Online