News Centre
News Centre
News Filter
Latest News
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan ‘Kayuhan MARA Prihatin 2020’ yang bermula dan berakhir di Dataran GIATMARA, Jalan Jejawi Sematang Kawasan Perindustrian Jejawi, Kangar.
Keberangkatan tiba baginda ke program yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu disambut oleh Pengarah MARA Negeri Hj Mohamad Johari Man dan Pengarah GIATMARA Negeri, Hasanuddin Abd Salam.
Turut serta ialah Pengurus Rural Capital Berhad Sufian Muda, Pegawai Perhubungan Pendidikan Yayasan Pelajaran MARA Muhd Akmal Fawwaz Muhamad Ali dan Pengurus GIATMARA Kangar, Rostina Hussain.
Sepanjang program tersebut baginda dan para peserta yang lain menyampaikan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs dan juga daripada pihak MARA kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih. Baginda turut berkenan berangkat ke Asrama Anak Yatim Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah Kg Jejawi Dalam yang berada di bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis bagi menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Rural Capital Berhad serta Yayasan Pelajaran MARA selain singgah di Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI) bagi menyempurnakan beberapa aktiviti khidmat sosial korporat yang dianjurkan oleh pihak SWCorp.
Terdahulu sebelum berlepas, Tuanku Raja Muda berkenan menyempurnakan penutupan dan penyampaian sijil penyertaan serta sumbangan bersempena
‘Program Penjana GIATMARA’ yang merupakan program membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Peruntukan Penjana adalah dari Kementerian Kewangan Malaysia yang di salurkan terus kepada GIATMARA sebagai penyedia latihan. Untuk negeri Perlis Penjana TVET Komuniti telah melaksanakan 3 kursus termasuklah :-
Kursus Kek Budget, Brownies, Tart dan Cream Puff selama 5 hari iaitu dari 7-11 Disember 2020 melibatkan seramai 10 orang.
Kursus Eyelashes Perming selama 5 hari iaitu juga 7-11 Disember 2020 membabitkan seramai 10 orang peserta.
Kursus Membaiki Telefon Bimbit selama 10 hari iaitu dari 23 November hingga 4 Disember 2020 seramai 18 orang, serta
Program Penjana peruntukan ‘Empower NCER Perlis’ melalui Jahitan Kreatif pembuatan beg tangan selama 3hari iaitu dari 8-10 Disember 2020 seramai 8 orang peserta.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan berupa :-
AA. Peralatan Program Penjana GIATMARA 2020.
1. Aimi Nadirah Zaidi – Kursus Eyelash Perming,
2. Nur Aqina Dayana Mohd Abdullah – Kursus Eyelash Perming
3. Asmawani Omar – Kursus Eyelash Perming,
4. Mashitah Mohammad Wazir – Kursus Pembuatan Kek Budget, Brownies, Tart dan Puff,
5. Siti Aishah Anas – Kursus Pembuatan Kek Budget, Brownies, Tart dan Puff,
6. Norsyazwani Shamsuddin – Kursus Pembuatan Kek Budget, Brownies, Tart dan Puff.
BB. Program Latihan Pembentukan Usahawan MARA-MAIPs.
1. Mohd Nizam Saad – Projek Ternakan Puyuh – RM8,307,
2. Noor Ayuti Mansor – Projek Jahitan RM8,000.
3. Shoufiqul Firdaus Kamarudin – Projek Pisang Goreng dan Keropok Lekor RM6,340,
4. Nor Sharizan Shaaban – Projek Makanan RM6,300,
5. Ismail Khairudin – Projek Urutan dan Spa RM5,6140, dan
6. Mohd Hanif Bidin – Barber Shop RM5,579.00.
- 2020/12/11 9:53 AM
- Bernama
Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis telah berjaya melaksanakan ‘Program Pembudayaan Amalan 3R’ dengan kerjasama Al Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI) dan Sekolah Rendah Islam Al-Furqan di Kg Jejawi Dalam, Kangar.
Program yang dianjurkan ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan sekolah bagi menerapkan amalan kitar semula di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Program ini juga merupakan program kolaborasi SWCorp yang julung kali diadakan melibatkan Sekolah Agama Rakyat.
SWCorp dengan kerjasama MADI dan SRI Al Furqan telah menganjurkan beberapa pertandingan sempena program ini termasuklah ‘Pertandingan Bercerita bagi Sekolah Rendah yang bertemakan alam sekitar dan kitar semula’, ‘Pertandingan Rekacipta bagi Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dengan menggunakan barang berkonsepkan 3R khususnya plastik’, dan ‘Pertandingan Tulisan Khat bagi Sekolah Menengah yang bertemakan Kitar Semula dalam Bahasa Arab’.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran ‘Kempen #JanganGunalah dan Hargai Makanan, Elak Pembaziran’ peringkat MADI
sempena Program ‘MAIPs Peduli’ anjuran bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada petang semalam.
- 2020/12/10 1:42 PM
- Bernama
Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melahirkan keprihatinan kepada warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri ini dengan menyalurkan sumbangan untuk pengurusan bagi tahun 2021.
Majlis penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di pekarangan Dataran Jubli Emas, Masjid Alwi Kangar.
Sebanyak sembilan buah PDK yang dikendalikan oleh pelbagai komuniti dan NGO masing-masing menerima pengurniaan sumbangan RM2,000 yang disempurnakan baginda selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs.
Antara Pusat PDK yang terlibat adalah di Kangar, Residensi, Seri Kayangan, Felda Chuping, Felda Mata Ayer, Indera Kasih, Beseri, Sanglang dan Khalilu Bushro Kuala Perlis.
Ketua pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkata, sumbangan berkenaan adalah merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam membantu melancarkan lagi pengurusan pusat PDK yang kebanyakannya diuruskan oleh pihak NGO yang turut memberikan peluang peningkatan kemampuan urus diri dan kemahiran hidup anak-anak kelainan upaya yang sebahagiannya juga adalah dari kalangan warga asnaf.
- 2020/12/09 8:40 AM
- Bernama
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya melahirkan sebuah ‘Peranti Diagnostik Perubatan untuk COVID-19’ (Medical Diagnostic Device for COVID-19) yang terpantas dan yang pertama seumpamanya di Malaysia menggunakan kaedah elektrikal yang memberikan hasil yang begitu cepat dan tepat.
Kit tersebut kini telah berjaya mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia untuk diteruskan ke peringkat ujian klinikal penuh yang akan dilakukan bermula pada awal tahun 2021 di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Shah Alam dan diharap ianya dapat membantu dalam mengawal pandemik COVID-19 yang menjadi masalah sejagat.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) UniMAP Prof. Ts Dr. Uda Hashim kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis sembah taklimat hasil kajian berkenaan yang diadakan di Galeri DiRaja Arau.
Kehadiran Prof Uda yang diiringi anak beliau, Muhammad Nur Afnan Uda yang juga merupakan salah seorang yang terlibat di dalam penyelidikan produk tersebut disambut oleh Setiausaha Sulit Tuanku Raja Muda Perlis, Zaharin Haris.
Menurut Prof Uda yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, peranti ini mampu memberikan keputusan dalam masa kurang daripada 20 minit dan telah mengambil masa selama 2 tahun untuk dibangunkan.
- 2020/12/09 8:37 AM
- Bernama
Bagi memenuhi matlamat Tentera Darat Malaysia (TDM), segenap peringkat di dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) hendaklah sentiasa berusaha keras untuk terus mengekalkan peranan dan tugasnya iaitu ‘To raise, Train and Maintain’ anggotanya. Ini memerlukan komitmen jitu dari semua bagi merealisasikan hasrat ini.
Dalam usaha memperkasakan Rejimen Askar Wataniah juga, lebih banyak usaha dan promosi yang dipelbagaikan hendaklah dilaksanakan. Rejimen Askar Wataniah juga amat mengalu-alukan dan memerlukan lebih ramai penyertaan belia dan beliawanis dari agensi kerajaan dan swasta ke dalam pasukannya termasuklah IPTA dan IPTS setempat.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri majlis ‘R504AW Integration & Appreciation Nite 2020’ anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah yang diadakan di Denai Larian JPS Sungai Perlis, Pengkalan Asam Kangar.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
- 2020/12/08 8:30 AM
- Bernama
Kangar: Jumlah pengunjung yang berkurangan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didapati tidak menjejaskan jualan harumanis apabila ia boleh dipasarkan secara dalam talian.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, berikutan itu tanaman pokok mangga itu dilihat masih berpotensi meningkatkan hasil petani.
Baginda bertitah, program penanaman harumanis di Perlis dilihat sebagai inisiatif yang baik bagi merancakkan industri berkenaan pada masa hadapan.
“Pengusaha tanaman harumanis perlu mengambil peluang sebaik mungkin dengan menyelenggara dan menguruskan pokok dengan baik sehingga dapat mengeluarkan hasil berkualiti dan selamat untuk dipasarkan.
“Ikutilah kursus dan dapatkanlah khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian dalam pengurusan harumanis mengikut amalan teknologi yang ditetapkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan penanaman serentak 4,500 pokok harumanis Perlis 2020 bersempena Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Perlis, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penularan Covid-19 jelas memberi kesan begitu besar terhadap sumber pendapatan dan keperluan sara hidup rakyat.
Berikutan itu, baginda berharap golongan terjejas khususnya kelompok B40 digalakkan menyertai aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan sampingan
“Aktiviti pertanian sekiranya diusahakan dengan cara dan kaedah betul, ia akan mampu memberi sumber pendapatan sampingan,” katanya.
- 2020/12/07 7:47 AM
- Metro