News Centre

News Centre

News Filter

Latest News

22b5b3b0334d4500edf03be1a111fda9 M
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitah nasihatkan agar Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis terus beriltizam dengan semangat muafakat untuk memberi sumbangan ke arah memajukan pemikiran, meluruskan pemahaman, meneguhkan pegangan, menyebarkan dan mengangkat syiar Islam di bumi Perlis ini. Budaya ilmu perlu disuburkan dalam usaha mendidik masyarakat kini hingga generasi yang akan datang. Baginda juga menitahkan ucapan tahniah buat semua Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang telah memainkan peranan dengan pantas dan berkesan ketika berhadapan dengan suasana pandemik wabak COVID-19. Baginda tidak putus-putus berdoa agar negeri ini terus dipelihara keselamatan sekalian rakyat daripada ancaman COVID-19. Tuanku Syed Sirajuddin juga amat berbangga dengan keanggotaan Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis yang terdiri daripada pelbagai pakar dalam bidang masing-masing. Ini memberi nilai kelebihan bagi menghasilkan kajian-kajian fatwa yang lebih bermutu dan menyelesaikan permasalahan serta memberi panduan kepada masyarakat. Demikian titah baginda ketika berkenan menyempurnakan ‘Majlis Pengurniaan Watikah Tauliah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Dan Ahli Jawatankuasa Pengawasan Dan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis Sesi 2020-2021’ yang diadakan di Balai Menghadap Hijau Istana Arau pada petang tadi. Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Menurut baginda, kini Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah mencapai bilangan mesyuarat kali yang ke-50 atau peringkat jubli emas. Tuanku Raja seterusnya menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan buat semua Ahli Jawatankuasa Fatwa yang terlibat secara langsung membangunkan institusi fatwa di negeri ini. Ia juga sekaligus membantu baginda melunaskan tanggungjawab sebagai Ketua Agama bagi negeri Perlis ini. Senarai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti, Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin terdiri daripada Profesor Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd. Radzi Haji Othman, Datuk Alim Setia Ahmad Jusoh, Profesor Dr. Basri Ibrahim, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Datuk Dr. Johari Mat, Ustaz Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, Profesor. Madya Dr. Azman Mohd Noor, Profesor Madya Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, Profesor Madya. Dr. Mohd Akram Datuk Dahlan, Dr. Kamilin Jamilin dan Dr. Ahmad Sufian Che Abdullah selain daripada Timbalan Mufti Negeri.

Kongsi:

e6c5ec4137a2831befad7e6d46559451 M
PADANG BESAR, 13 Dis — Kerjasama strategik antara Perpustakaan Desa dengan Pusat Sumber Sekolah di Perlis mampu menjadikan projek rintis Book2U satu realiti. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah usaha yang dilakukan pihak Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs) diharap dapat meningkatkan potensi masyarakat melalui program keilmuan yang diadakan dari semasa ke semasa. “Menerusi usaha ini dapat dilihat bahawa kadar pinjaman buku di perpustakaan telah meningkat, peserta daripada golongan berpendapatan sederhana B40 juga mendapat bekalan bahan bacaan setiap dua minggu dan pusat sumber sekolah dapat meningkatkan lagi jaringan serta kerjasama antara agensi,” titah baginda. Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Perpustakaan Desa, Batu Bertangkup, Taman Desa Asnaf MAIPs dan Pelancaran Book2U, Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Titah baginda berbanding sektor lain, perpustakaan dilihat kurang terjejas akibat wabak COVID-19 bahkan terus aktif dalam membudayakan aktiviti membaca. Baginda bertitah projek ini dapat diperluaskan lagi ke seluruh sekolah di Perlis dan menjadi satu produk ’trademark’ bagi negeri ini kelak selain kajian keberkesanan perlulah dilaksanakan bagi memastikan projek ini ditambah baik pada masa hadapan. Program Book2U adalah hasil daripada percambahan idea Jawatankuasa Pembangunan Perpustakaan Desa Perlis dan PPANPs dalam memastikan perpustakaan awam terus relevan kepada masyarakat. Menerusi projek ini, setiap sekolah akan mencari 10 murid B40 yang berminat dan mereka akan dibekalkan sebuah beg berisi 10 buku pelbagai tajuk yang bersesuaian untuk bacaan murid dan ahli keluarga dan beg buku itu akan ditukar dengan buku baharu setiap dua minggu. — BERNAMA

Kongsi:

44ea8054159099b6b90b5528233befe0 M
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara kejohanan liga woodball merebut Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2020 menumpaskan juara bertahan selama dua tahun berturut-turut iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP, Pauh Putra semalam. Sementara itu, pasukan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pula berjaya menundukkan Kolej Matrikulasi Perlis bagi merebut tempat ketiga dan keempat. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meluangkan masa berangkat menyaksikan perlawanan akhir tersebut. Pada kesempatan tersebut baginda turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis dari UniMAP iaitu Muhamad Azan Yaakob kerana telah dipilih sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa dalam Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWF) bagi tempoh selama 4 tahun bermula 2021 hingga 2025. Pada 14 Disember 2020 yang akan datang nanti pula akan diadakan satu pertandingan antara Ketua-ketua Jabatan dan agensi Persekutuan dan negeri bersempena majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra. Kejohanan ini adalah siri yang ke-4 yang diadakan setiap tahun bermula sejak tahun 2017 lalu lagi dan merupakan ilham Tuanku Raja Muda sendiri.

Kongsi:

b2891bff8bec583930a24fd93c9066ee M
Agenda kesejahteraan rakyat perlu didahulukan dan menjadi fokus utama semua pemimpin dalam mendepani cabaran dan situasi semasa. Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd Muzzammil Ismail di Masjid Al-Ittifaqiah, Mengkuang Layar dekat Kangar. Titah baginda, sikap mengutamakan kepentingan rakyat serta mengenepikan kepentingan peribadi selain bersedia untuk bekerjasama dan berkolaborasi merupakan ciri kepimpinan cemerlang yang didambakan rakyat. Mohd Muzzammil ketika sesi mengadap berkenaan, mempersembah maklum mengenai beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Yayasan Peneraju dalam mempertingkatkan penguasaan bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi melalui akademik, persijilan profesional dan kemahiran. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor ketika mengulas mengenai bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan pihaknya bersama Yayasan Peneraju berkata, aspek ‘keperluan’ dan ‘kesediaan’ menjadi elemen utama dalam mengenalpasti kolaborasi yang akan dijalinkan. “Perkongsian hasrat dan matlamat antara kedua belah pihak juga adalah faktor yang mendorong kerjasama dalam pendidikan dan kemahiran golongan sasar,” tambah beliau. Yayasan Peneraju telah berjaya mengembangkan potensi lebih dari 33,000 golongan bumiputera seluruh Malaysia melalui 261 program pembiayaannya melalui peruntukan kerajaan selain turut mendanai inisiatifnya dengan kerjasama korporat dan agensi.

Kongsi:

09b87d8495c8cf32b64735c816312dfe M
ARAU : Dua pos kawalan baharu akan dibina di kawasan sempadan khususnya di sebelah utara di sini sebagai salah satu usaha mengukuhkan kawalan sempadan negara. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah diputuskan hasil daripada perbincangan berhubung isu sempadan yang diadakan baru-baru ini. Katanya, perbincangan tersebut adalah bagi mencari penyelesaian yang bersifat menyeluruh dalam soal keselamatan sempadan negara itu. Jelasnya, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang mengetahui Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) untuk Op Benteng telah mengadakan perbincangan tersebut bersama agensi beruniform yang mengawal kawasan sempadan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan lain-lain lagi. “Untuk memperkukuhkan kawalan di sempadan utara negara, kita akan membina dua pos kawalan baharu serta menambah peralatan baharu. “Beberapa peralatan baharu telah kita beli seperti dron dan sebagainya. Peruntukan khas di bawah Op Benteng memang ada disediakan untuk tujuan pemulihan di sempadan negara,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau di sini hari ini. Turut bersama pertemuan kira-kira satu jam itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain. Isu keselamatan di sempadan negara Malaysia-Thailand kembali hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini berikutan insiden tembakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand pada 24 November lalu yang telah mengorbankan Sarjan Baharuddin Ramli,54. – UTUSAN ONLINE

Kongsi:

0f3f7b3d024c0f56f0acc50bc50d9557 M
“Saya amat bersyukur apabila dimaklumkan bahawa rumah ibu saya yang terbakar empat hari lalu akan dibaikpulih sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Syukur semuanya selamat.” Perasaan itu dikongsikan Hasemoh binti Man, 57, mangsa kebakaran di Kampung Abi Tengah Kangar pada kira-kira jam 9.35 pagi pada 8 Disember baru-baru ini. Katanya, beliau bersama Ibu, Som Talib, 83, dan anak lelakinya, Ku Shahrul Nizam Ku Johari, 22 berada di rumah ketika kejadian berlaku yang memusnahkan sebahagian besar rumahnya dalam kebakaran tersebut. Walaubagaimanapun, beliau sekeluarga berasa amat terharu menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang amat prihatin dengan hal ehwal rakyat jelata yang berkenan berangkat meninjau tempat kejadian dan seterusnya menghulurkan sumbangan tunai MAIPs bagi meringankan beban beliau sekeluarga. Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. Tambah menggembirakan mereka apabila Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis turut berkenan menyampaikan berita kesediaan MAIPs bagi membaik pulih sepenuhnya rumah mereka. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor ketika ditemui berkata, pihaknya akan berusaha mempercepatkan tindakan pembaikan rumah berkenaan. “Melihat kepada keadaan mangsa sekeluarga, MAIPs akan menyegerakan tindakan perlu bagi membaiki rumah berkenaan. Perbincangan untuk melaksanakan gotong-royong membersihkan tapak rumah yang musnah dijilat api akan dilaksanakan,” katanya.

Kongsi:

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.