News Centre

News Centre

News Filter

Latest News

af08ba4bce655d5aaad3672b255643fe M
Program ‘Jom Woodball @ Putrajaya’ yang dilangsungkan di pekarangan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajayabaru-baru ini mendapat sambutan dan juga respons memberangsangkan di kalangan warga Putrajaya yang berkesempatan meluangkan masa hadir. Program separuh hari yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada acara sampingan sempena aktiviti ‘Kayuhan Jelajah Jiwa Bangsa’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut dianjurkan oleh Kelab Woodball Prang Besar (KWPB) yang dianggotai oleh 100% penjawat awam yang bertugas di Putrajaya. Lebih daripada 150 orang ketua-ketua agensi Persekutuan dan juga dari negeri Perlis serta sektor swasta yang hadir diberikan penerangan ringkas mengenai sejarah kewujudan woodball, teknik asas dan peraturan permainan serta berpeluang mencuba sukan yang berasal dari negara Taiwan itu. Antara yang tidak melepaskan peluang mencuba termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Datuk Kamel Mohamad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Zamri Mat Zain. Tidak ketinggalan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Datuk Sri Zulkifli Abdullah dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin. Turut serta ialah Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad. Tambah istimewa ialah keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis. Menurut Presiden Kelab Woodball Prang Besar (KWPB), Asrul Nizwan Mohamad, KWPB ditubuhkan bagi menyahut titah saranan Tuanku Raja Muda Perlis beberapa tahun yang lalu bagi sama-sama membantu memartabatkan serta mempromosikan lagi sukan woodball di seluruh negara ini. Sebagai “trademark” KWPB, satu pertandingan ‘Gate In One Woodball Challenge’ turut diadakan sebagai acara kemuncak kepada program tersebut di mana RM1,705.43 ditawarkan kepada pemenang. Jumlah hadiah berkenaan mengambil sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, pada 17 Mei 1943. Untuk rekod, Kejohanan Woodball Piala Dunia Kesembilan (WCWC Perlis 2020) yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP, Pauh Putra, Perlis dari 24 hingga 30 Julai 2020 ditangguhkan ke tarikh yang sama pada tahun hadapan susulan pandemik COVID-19.

Kongsi:

9e2da3b69f12c2eed78f14bf191f9223 M
Perlis dianugerahkan dengan bentuk muka bumi yang begitu indah. Oleh yang demikian, seluruh warganya harus memastikan serta berbangga kerana Perlis sering kali menjadi ‘buah mulut’ dan mendapat pujian oleh warganet di laman sosial dengan keindahan alam semula jadinya dan pemandangan yang sungguh menawan. Masyarakat juga perlu memastikan keunikan ini dipelihara sebaiknya bagi menjadikan Perlis sebagai lokasi ekopelancongan semula jadi pilihan utama pengunjung dari dalam dan luar negara. Khazanah alam ini juga perlu dikekalkan supaya dapat terus dinikmati dan memberi manfaat kepada generasi akan datang. Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Penutupan Eksplorasi Menyelamat Dalam Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis, Tahun 2020’ yang diadakan di Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan Gua Kelam, Kaki Bukit pada petang tadi. Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shafie Awang Ahmad dan Ahli Kehormat Pertubuhan Nadi Sihat, Datuk Sri Hj Ahmad Sukimi Ibrahim. Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengajak semua supaya mengetahui, menghargai dan memahami bahawa pembentukan formasi-formasi gua seperti Stalaktit, Stalagmit, Gour Pool dan Tirai Gua ini mengambil masa jutaan tahun untuk terbentuk. Untuk rekod, Gua Kelam di Kaki Bukit Perlis terbentuk daripada batu kapur formasi setul. Terdapat jaluran gua batu kapur tertua di Malaysia berusia antara 416 hingga 508 juta tahun, struktur tirai gua serta mini empangan traveltine dengan mineral kasiterit yang merupakan Geotapak Perlombongan di Aspiring Perlis Geopark. Keunikan Gua Kelam ini ditambah lagi dengan sejarah perlombongan bijih timah terbesar dalam dasar bukit iaitu sekitar tahun 1930an kini menjadi tarikan baru khususnya bagi pengemar aktiviti lasak kerana laluan yang ditempuhi sangat unik dan menguji ketahanan fizikal dan mental peserta. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita secara bersama untuk memastikan ianya terus terpelihara dengan sebaik mungkin. Di akhir program baginda berdua berkenan meluangkan masa memasuki Gua Kelam 2 dari Secret Garden dan berakhir di Bangunan Galeri 3D Gua Kelam.

Kongsi:

380d25d8d08b30f6a93b74397bf8e996 M
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengambil bahagian di dalam program berbasikal ‘Kayuhan Jelajah Bahasa Jiwa Bangsa’ yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sekitar Putrajaya baru-baru ini. Keberangkatan tiba baginda ke kayuhan di sebelah malam yang bermula di pintu gerbang Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sejurus selepas solat maghrib secara berjemaah melibatkan 150 orang peserta itu dilepaskan oleh Ketua Pengarah DBP Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran. Kayuhan sejauh 18km itu berakhir di pintu gerbang Kompleks Perbadanan Putrajaya dan disambut oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim. Terdahulu, pada sebelah petangnya Tuanku Raja Muda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan ‘Wacana Jamalullail: Salasilah Perlis Dan Kedudukan Istimewa Manhaj Ahli Sunah Waljamaah Dalam Perlembagaan Negeri Perlis’ yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP di Kuala Lumpur. Dalam titah baginda di majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkongsi maklumat bahawa menelusuri sejarah, pendakwah Arab yang hadir ke sini, sama ada sebagai pedagang ataupun ulama, memilih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama bagi melaksanakan misi dakwah ke segenap lapisan masyarakat di wilayah Alam Melayu. Mereka dengan gigihnya memasukkan istilah-istilah dasar yang menayangkan cita luhur agama Islam ke dalam bahasa Melayu. Pelbagai istilah dasar yang diambil daripada bahasa Arab al-Quran itu, diserap sebagai kosa kata Melayu. Istilah-istilah kuno disaring dengan halus, digunakan sesuai dengan ajaran Islam atau disisihkan terus. Tambah baginda, ‘Keadaan ini mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai ‘bahasa ilmu’ yang berdarjat tinggi. Sebelum kehadiran Islam, bahasa Melayu hanya menjadi bahasa sastera rakyat lisan yang dipengaruhi oleh pandangan berbentuk tahyul dan khayalan. Namun, selepas kehadiran Islam, bahasa Melayu menjadi bahasa utama yang menuturi suatu cara berfikir yang ilmiah, rasional, intelektual dan indah sifatnya.’. Di akhir majlis, Abang Sallehuddin selaku penerima Jaizah Maal Hijrah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tahun 1442 Hijrah telah menyerahkan sumbangan yang diterima beliau di majlis tersebut berjumlah RM5,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang diterima oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku pengerusinya.

Kongsi:

451bf7d0eb68e09e196cbaba47814353 M
Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Yayasan Geomatika University College dan Temis (M) Sdn Bhd menyumbangkan RM6300 kepada Tabung Kebajikan Rejimen Markas Briged Sempadan Tentera Darat Malaysia sempena program kayuhan bersempena sambutan ‘Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-87’ yang bermula dan berakhir di Kem Bukit Cowder, Markas Briged Ke-30 Infantri, Mata Ayer pada petang semalam. Sumbangan tersebut akan digunakan bagi tujuan kebajikan tentera merangkumi para anggota Markas Briged Ke-30 Infantri, 4 Rejimen Renjer DiRaja, Rejimen 504 Askar Wataniah dan 6 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja yang kesemuanya berpengkalan di negeri Perlis. Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis berkenan menyerahkan sumbangan tersebut kepada Panglima Markas Briged Ke-30 Infantri, Brigedier Jeneral Hassan Embong dan disaksikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah. Hadir sama, Panglima Briged Ke 6 Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Halim Khalid dan Komandan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Hj Mustapha TUDM serta Ketua Polis Perlis, SAC Datuk Surina Saad.

Kongsi:

e8254cdf6a60c0aacb685c6fcaf4d937 M
Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa komited untuk memanfaatkan sumbangan wakaf dan zakat demi melestarikan pelbagai inisiatif dan program kesejahteraan rakyat. Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan program MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf untuk kali ke-47 bagi tahun 2020. Titah baginda lagi, sesuatu sumbangan sama ada wakaf atau zakat sudah pasti diberikan oleh para dermawan yang budiman untuk diurus dengan sebaiknya, sekaligus dapat mempertingkatkan lagi tahap sosio ekonomi ummah. “Atas maksud itulah MAIPs sentiasa mencari jalan untuk melestarikan hasrat murni para penyumbang agar agenda pemerkasaan rakyat dapat sentiasa direalisasikan”, titah baginda lagi. Tuanku Syed faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan berangkat untuk meninjau tapak cadangan bagi penubuhan sebuah pusat latihan dan kemahiran asnaf di bawah seliaan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) di bangunan lama Masjid Kg Sempering dekat Kangar.

Kongsi:

b998737c1fadb4532aff61629ed0f96a M
KANGAR: Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) perlu terus fokus dalam meningkatkan lagi pengetahuan, kemahiran, tenaga dan persiapan mental dalam mencorakkan sistem pengurusan serta akademik yang baik. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hal demikian penting dalam melahirkan pelajar yang dapat menyumbang bakti kepada bangsa dan negara. Titah baginda, kakitangan KUIPs juga perlu diberikan latihan dan pendedahan secukupnya agar dapat menjalankan tugas dengan baik dan sistematik. “Latihan tersebut haruslah komprehensif merangkumi aspek fizikal, jasmani, emosi dan intelek setiap kakitangan. “Dengan adanya latihan ini, mereka akan lebih cekap dan terlatih dalam melaksanakan apa sahaja tugas dan sentiasa bersedia sekiranya diperlukan oleh majikan,” titah baginda merasmikan Majlis Apresiasi Kakitangan KUIPs 2019 di Auditorium KUIPs, Kampus Seberang Ramai, Kuala Perlis di sini hari ini. Yang turut hadir Rektor KUIPs, Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd. Radzi Othman dan kepimpinan tertinggi universiti yang berada di bawah naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu. Sementara itu, baginda yang merangkap Tuanku Canselor KUIPs bertitah, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menyumbang secara kritikal terhadap pembangunan dan kemajuan negeri ini, pengurusan budaya kerja cemerlang diperlukan. “Ini bagi mewujudkan corak pengurusan yang baik seperti dalam pemilihan kakitangan, latihan dalam pengurusan dan pentadbiran, kerjasama berpasukan dan pengurusan masa. “Kerja secara berpasukan perlu diterapkan yang mana kesepakatan merupakan kunci utama mencapai kejayaan. Justeru, KUIPs perlu menerapkan budaya bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain,” titah baginda. Pada majlis tersebut, baginda telah mengurniakan anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada empat penerima, Pendidik Cemerlang (tiga), Pentadbir Cemerlang (tiga) dan Staf Sokongan Cemerlang (lima). – UTUSAN

Kongsi:

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.