News Centre
News Centre
News Filter
Latest News
Segala perkongsian ilmu, dapatan serta kaedah kajian dan sebagainya dalam pembentangan di ‘The 10th National Conference in Education – Technical and Vocational Education and Training (CiE-TVET) 2020’ pada 13 dan 14 Oktober 2020 diharap dapat dijalankan dalam suasana yang kritis, harmoni, berinovasi dan berwawasan.
CiE-TVET 2020 yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Malaysia melibatkan pembentangan 173 kertas yang layak selepas melalui proses penilaian oleh panel yang mana 53 daripada yang layak adalah dari PTSS dirancang untuk menjadi salah satu platform khas buat warganya untuk membentangkan hasil penyelidikan dalam bidang TVET.
Himpunan kertas penyelidikan yang dibentangkan akan diterbitkan dalam e-proceeding CiE-TVET 2020 dan e-journal JPPKK sebagai sumber rujukan oleh pihak-pihak berkepentingan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan persidangan berkenaan yang dilaksanakan melalui telesidang di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra pada pagi tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan dan Dr. Rashdan Rashid.
Pada kesempatan yang sama baginda menitahkan ucapan syabas kepada 4 Kertas Penyelidikan Terbaik PTSS pada kali ini terdiri daripada:
1) Noor Hanisah Abdullah: ‘Pembangunan Smart Motorcycle Anti Theft System (SMATS)’ bagi Kategori Teknikal.
2) Dr. Rashdan Rashid: ‘The Relationship of Career Development, Salary and Benefit, and Employer Reputation Towards Job Selection Among Northern Polytechnic Accounting Students’ bagi Kategori Sosial Sains.
3) Mohammad Hazrul Md Jori: ‘Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Berdasarkan Pendekatan OBE dalam Program Diploma Teknologi Automotif di Kolej Vokasional : Penilaian Menggunakan Dimensi Proses Model CIPP’ bagi Kategori Luar Sosial Sains; serta
4) Zurina Safee: ‘Study on Concrete with Partial Replacement of Sand by Floral Foam’ bagi Kategori Luar Teknikal.
Untuk rekod, buat julung kalinya, CiE-TVET 2020 diadakan secara telesidang setelah pihak penganjur mengambil kira situasi semasa COVID-19 di negara ini.
Acara tahunan ini tetap berjaya mengangkat kajian dan penyelidikan dalam bidang TVET di peringkat kebangsaan. Malahan, kertas-kertas penyelidikan yang dibentangkan adalah menepati keperluan dalam penambahbaikan institusi pendidikan, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta keusahawanan dan kemajuan penyelidikan secara keseluruhannya.
- 2020/10/14 8:41 AM
- Bernama
Seluruh warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dipohon supaya cakna akan kepentingan Kesejahteraan Siber atau dalam bahasa Inggeris – cyber wellness.
Kesejahteraan Siber mendokong amalan penggunaan internet yang bertanggungjawab, bermoral dan berintegriti. Amalan penggunaan internet yang berpandukan nilai-nilai beretika akan menyumbang kepada kesejahteraan siber dalam kalangan warga UniMAP, yang seterusnya terkait dengan kesejahteraan hidup, secara amnya.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima taklimat akhir mengenai deraf ‘Dokumen-Dokumen Perisytiharan dan Statut-Statut UniMAP’ yang diadakan di Bilik Tuanku Canselor, Bangunan Canselori UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra baru-baru ini.
- 2020/10/13 11:58 AM
- Bernama
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mendapat banyak anugerah dan pengiktirafan di peringkat negara mahupun antarabangsa dari segi pengurusan universiti, penyelidikan, kajian dan sebagainya.
Antaranya ialah ‘QS Star Rating’ (3 Bintang), SETARA / D-SETARA (Tier 5), MyMoheS (5 Bintang), ‘The Golden Europe Award for Quality & Commercial Prestige’, ‘Best Enterprise Award, The New Era Award of Technology, Innovation & Quality’ dan ‘European Award for Best Paractices’.
UniMAP juga berada dalam carta ‘THE Young University Rankings 2020’ yang dikeluarkan oleh Times Higher Education pada Jun lalu iaitu dalam kelompok 151 hingga 200 universiti terbaik di dunia yang berusia di bawah 50 tahun.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Canselor selepas berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Menandatangani Statut UniMAP’ yang diadakan di Bilik Tuanku Canselor, Bangunan Canselori Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada tengahari tadi.
- 2020/10/13 11:55 AM
- Bernama
ARAU: Pelajar baharu Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dinasihatkan menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran secara kendiri selain sentiasa berfikiran terbuka serta menghasilkan inovasi yang boleh dimanfaatkan semua pihak.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara itu seiring dengan visi Unimap iaitu universiti teknikal yang berdaya saing di persada antarabangsa.
“Pada masa sama, fokus diberikan kepada ilmu pengetahuan. Insya-Allah kita bakal mampu melahirkan lebih ramai lagi mahasiswa terbaik dan menjadi kebanggaan universiti, keluarga, masyarakat, dan negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Minggu Suai Kenal (MSK) Unimap Sidang Akademik 2020/2021 dan Majlis Simbolik Penerimaan Pelajar Baharu menerusi platform digital di Auditorium Bangunan Canselori Kampus Alam Unimap Pauh Putra di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor Unimap.
Seterusnya, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Tuanku Canselor Unimap bertitah, pelbagai kemudahan asas disediakan oleh universiti bagi memastikan keselesaan dan kualiti pelajar dijaga dengan baik.
“Oleh kerana Unimap merupakan universiti kejuruteraan, penekanan terhadap pengajaran dan pembelajaran lebih kepada praktikal di dalam makmal, e-pembelajaran serta pendedahan kepada industri yang memberi peluang kepada setiap pelajarnya mengaplikasikan ilmu dipelajari dengan berkesan dan efektif,” titah baginda. -UTUSAN
- 2020/10/12 9:23 AM
- Utusan Online
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat di negeri ini sama-sama berusaha keras dan saling ingat memperingati antara satu sama lain bagi memperbanyakkan lagi melakukan
aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian diri sendiri, keluarga tersayang dan juga di kalangan rakan sekerja demi untuk menjaga tahap kesihatan masing-masing.
‘Lakukanlah aktiviti seperti berbasikal, berjalan pantas, berjoging, senamrobik, futsal, woodball, tekan tubi, bangkit tubi, lompat tali, mengangkat beban di gimnasium atau apa-apa jenis sukan sekalipun mengikut minat dan kemampuan peribadi’.
‘Selain daripada itu, pergiatkanlah juga aktiviti harian di rumah seperti membersihkan kawasan dalam serta halaman rumah, memotong rumput, mengemop lantai, menyiram pokok atau mencuci kenderaan mengikut kecukupan masa masing-masing’.
Kita janganlah sekadar menunggu setahun sekali sempena Hari Sukan Negara yang disambut pada setiap 10 Oktober untuk melaksanakan sebarang aktiviti kecergasan.
- 2020/10/12 9:19 AM
- Utusan Online
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis memohon masyarakat sentiasa memberikan kerjasama padu kepada segala tindakan yang dilaksanakan oleh pihak polis demi keselamatan negeri dan negara.
Sebagai contoh, operasi menebang pokok ketum di kawasan FELDA di seluruh Perlis adalah berdasarkan Seksyen 33 Akta Racun 1952 dan Akta Penempatan Berkelompok 1960.
Tindakan sebegini adalah demi kebaikan semua pihak dan bagi memelihara masa hadapan generasi anak bangsa negeri ini. PDRM Perlis amat mengharapkan sokongan daripada kepimpinan serta masyarakat di segenap peringkat.
Demikian dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Perlis SAC Datuk Surina Saad di akhir program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke-49 bagi tahun 2020’ di Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM di pesisir pantai Bukit Putih Kuala Perlis pada semalam.
Dalam menyahut titah saranan Tuanku Raja Muda untuk melihat ‘Rakyat Perlis Hidup Selamat’, Surina juga memohon agar pihak PGA PDRM yang ditugaskan ke Perlis agar dapat membantu memperkukuhkan lagi Ops Benteng dalam menjaga keselamatan negara khususnya dalam isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pandemik Covid-19 dan juga penyeludupan.
Bersempena program tersebut kali ini Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan singgah menyerahkan agihan zakat MAIPs dan juga sumbangan ikhlas warga PDRM Perlis kepada dua keluarga asnaf terpilih di Kampung Perak dan juga Kg Seberang Ramai di Kuala Perlis.
Terdahulu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan ‘MAIPs Peduli’ dan ‘Prihatin PDRM’ kepada isteri salah seorang anggota Polis yang menderita penyakit barah di kediaman beliau di Kg Bangsal Lebah.
Selain Surina, hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari a/l Kiew.
- 2020/10/08 9:06 AM
- Utusan Online